Cari @ Amanz

Pasca Covid-19 dunia kembali normal dan jika anda perasan kes penipuan menggunakan telefon juga kembali. Saban minggu ada sahaja laporan insan yang kehilangan ratusan ribu kerana menerima panggilan yang kononnya dari bank dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Penipuan menjadi mudah kerana ramai tidak tahu panggilan yang diterima bukan dari bank atau badan kerajaan sebenar.

Di Brazil. Google sedang melakukan ujian untuk ciri Verified Calls. Menerusinya skrin telefon akan memaparkan siapa yang memanggil, logo pemanggil dan juga sebab panggilan diterima. Sebagai contoh apabila menerima panggilan dari bank telefon akan memberitahu nombor bank, logo bank dan sebab menerima panggilan seperti ia mengesan penggunaan kad kredit yang luar biasa.

Verified Calls berbeza dengan sistem menyaring panggilan sebelum ini kerana memaparkan sebab mengapa panggilan diterima. Ia juga tidak seperti sistem saringan menggunakan Google Assistant yang setakat ini hanya diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat.

Ini sekaligus menyukarkan penipuan menggunakan telefon dilakukan di masa hadapan. Sungguhpun begitu Verified Calls hanya disokong pada aplikasi Google Phone. Ia juga memerlukan bank dan pelbagai syarikat untuk menyenaraikan nombor telefon mereka kepada Google.

Google tidak memberitahu sama ada ciri ini akan dikembangkan kepada pengguna global. Tetapi ia amatlah dinantikan kerana kami sendiri tidak pernah mengangkat telefon dari nombor yang tidak dikenali sebagai langkah drastik mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd