Cari @ Amanz

Apakah kekurangan peranti realiti maya di  pasaran sekarang? Pada hemat kami ialah saiznya yang besar membuatkan kepada terasa berat apabila memakainya. Ini adalah kerana kekangan fizik lensa yang memerlukan jarak yang agak jauh di  antara lensa dengan skrin untuk menghasilkan imej maya yang realistik. Facebook telah memperlihatkan rekaan prototaip peranti realiti maya mereka yang lebih nipis sehingga kelihatan seperti sebuah kaca mata biasa.

Penyelesaian yang dilakukan ialah menggunakan “lensa hologram”. Cahaya dipantulkan ke dalam lensa sebelum sampai ke mata pemakai. Jarak di antara skrin dan lensa sebelum ini dapat dipendekkan dengan mendadak.

Sistem lensa hologram ini masih lagi di peringkat ujian dan hanya mampu memaparkan warna hitam serta hijau sahaja pada waktu ini. Tetapi dengan penyelidikan yang lebih menyeluruh, paparan berwarna akan dapat dihasilkan.

Walaupun bersaiz jauh lebih kecil berbanding peranti realiti maya lain seperti Oculus Quest, prototaip ini masih agak tebal sekitar 9mm. Sekilas pandang mirip kaca mata insan yang amat rabun seperti kami. Harus diingatkan menurut Facebook ini adalah lensa peranti realiti maya paling nipis pernah dihasilkan setakat ini.

Mungkin kelak peranti realiti maya akan kelihatan seperti kaca mata biasa. Jangan ketawa kerana pernah suatu ketika idea komputer mudah alih dalam tangan juga pernah dikatakan mustahil.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd