Pada awal tahun ini, kami ada melaporkan bahawa Google akan memperkenalkan ciri perkongsian fail yang seakan-akan AirDrop milik Apple.
Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa fungsi tersebut, yang dinamakan Nearby Share kini sedang diuji oleh beberapa pengguna terpilih.
Menurut Google, ciri Nearby Share ini boleh digunakan pada peranti-peranti yang dipasang dengan sistem operasi Android 6.0 (Marshmallow) keatas, dan boleh digunakan untuk berkongsi pelbagai jenis fail secara pantas, termasuklah gambar, video dan juga pautan.
Android Police memperlihatkan gambaran bagaimana Nearby Share berfungsi. Pertama ialah penerima fail harus membuatkan peranti mereka boleh dilihat oleh peranti penghantar sebelum fail-fail tersebut boleh dihantar.
Kedua, fail-fail ini tidak boleh dikongsi secara automatik, dan pengguna lain harus mengesahkan penerimaan fail tersebut. Ini adalah supaya penerima tidak menerima fail-fail yang tidak diingini.
Menariknya, Nearby Share juga dilihat hadir melalui sistem operasi Chrome OS Canary yang mengesahkan bahawa ciri ini akan tiba pada peranti Chromebook juga.
Buat masa ini, Google masih belum mengesahkan bilakah ciri Nearby Share ini akan dikeluarkan untuk semua peranti Android. Jika anda ingin mencubanya, anda boleh memuat-turun APK Google Play Services Beta melalui APKMirror.
Penafian: Kami telah mencubanya sendiri, dan nampaknya walaupun dengan Google Play Services Beta ini, pengguna yang boleh menerima ciri ini masih lagi terhad dan bergantung kepada nasib.