Sekian lama berteka-teki dan membiarkan persoalan mengenai tarikh pelancaran Poco M2 Pro. Kini, Poco telah menamatkan segala spekulasi dengan mengumumkan bahawa peranti tersebut akan muncul secara rasmi di India pada 7 Julai ini.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi sebuah perkongsian di laman twitter rasmi Poco sebentar tadi. Pada ciapan yang sama, Poco turut berkongsi video acah pendek yang memperlihatkan rekaan panel belakang peranti. Ia dilihat didominasi bonggol kamera berbentuk segi empat dan Poco menggunakan slogan kata “#FeelTheSurge” dalam mempromosikan peranti ini.
For all those who were on the edge of their seat. It's time to #FeelTheSurge with the #POCOM2Pro.
Arriving on July 7th @ 12 PM. RT if you want to know more: https://t.co/9qDfHgozXT pic.twitter.com/8omQqEHS0r
— POCO India (@IndiaPOCO) July 1, 2020
Markah penanda aras Geekbench 5 untuk peranti ini juga dikatakan telah tertiris, Ia memperlihatkan Poco M2 Pro mungkin dijana cip Snapdragon, tetapi tidak diketahui cip yang mana satu sebaliknya hanya disenaraikan dengan kod nama “Gram”. Ia juga dipercayai menggunakan memori sebesar 6GB RAM dan menjalankan perisian Android 10.
Dalam sebuah poster acah terbaru dikongsi, Poco mengesahkan peranti ini akan tiba dengan sokongan pengecasan pantas 33W. Spesifikasi lain masih belum diketahui tetapi kita boleh menjangkakan Poco akan berkongsi lebih banyak lagi maklumat mengenainya dalam masa terdekat ini.