Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Z Flip tidak dinafikan adalah sebuah peranti yang baik dan benar-benar berinovasi. Ia adalah peranti sebenar boleh lipat dan bukannya tablet yang boleh dilipat menjadi telefon. Sayangnya, ia dilancarkan pada tahun ini dengan cip pemprosesan tahun lepas. Harga jualan juga agak mahal, tetapi perlu faham yang ia adalah telefon pintar kelas premium untuk golongan tertentu sahaja.

Kita sudah tahu yang Samsung bakal hadir dengan penggantinya, iaitu Galaxy Z Flip 5G. Berdasarkan skor tanda aras yang tertiris sebelum ini, ia dijana dengan cip Snapdragon 865. Terkini, TENAA sudah mengesahkan yang peranti ini akan dijana dengan Snapdragon 865 yang dilewahjam. Berkemungkinan sekali, ia adalah Snapdragon 865+ yang sama digunakan pada Asus ROG Phone 3. Kuasa pemproses yang didaftarkan di TENAA adalah 3.09GHz, memori 8GB RAM dan storan dalaman yang sama iaitu 256GB. Beza Z Flip pertama dan Z Flip 5G dilihat hanyalah pada pemproses sahaja dan kemampuan 5G.

Tambahan lagi, baru-baru ini turut kelihatan model Galaxy z Flip 5G dengan warna gangsa. Secara tidak langsung selari dengan model Galaxy Note 20 Ultra yang tertiris baru-baru ini. Ini juga memberi petanda yang kedua-dua peranti ini akan dilancarkan pada masa yang sama.

Nama model bagi peranti ini pula adalah SM-F7070 dan ia akan menyokong kedua-dua rangkaian 5G NSA dan SA. Kita sudah tahu yang peranti dengan 5G dan Snapdragon 865 kebiasaannya mahal lagi-lagi Z Flip sebelum ini. Adakah Z Flip 5G ini akan dijual lebih mahal dari sekarang atau model lama diturunkan harga dan model baru dijual pada harga lama? Sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd