Boeing 747 melakukan penerangan sulung pada tahun 1969 dengan kemampuan membawa lebih 300 penumpang. Pesawat ini memulakan era penerbangan yang mampu milik untuk semua dan telah diberikan nama jolokan Ratu Angkasa. Menurut laporan Bloomberg, pengeluaran Boeing 747 telahpun dihentikan bulan ini tetapi pengumuman rasmi masih belum dilakukan.
Sejak lebih lima dekad yang lalu, sebanyak 1,557 Boeing 747 telah dihasilkan. Pesawat yang dahulunya kerap dilihat di lapang terbang utama dunia kini semakin hari semakin pupus kerana syarikat penerbangan yang berpindah kepada penggunaan pesawat yang lebih kecil. Kos operasi yang lebih rendah serta enjin yang lebih mesra alam menjadi faktor perpindahan ke pesawat seperti Airbus A350 dan Boeing 787.
Sebelum pengeluaran dihentikan, Boeing hanya mengeluar sebuah 747 setiap dua bulan kerana permintaan yang rendah. Tahun 2020 bukanlah tahun yang baik buat Boeing kerana sebelum serangan pandemik memusnahkan industri penerbangan, tahun lalu kesemua Boeing 737 MAX dihalang dari beroperasi kerana kelemahan sistem yang kronik mengakibatkan dua tragedi udara.
Sekiranya berita hari ini adalah benar, era pesawat penumpang gergasi bakal berakhir. Tahun lalu Airbus mengumumkan pesawat A380 akan dihentikan pengeluarannya pada tahun 2021.