Dengan pemproses yang semakin berkuasa dan skrin yang semakin besar, tempoh penggunaan peranti turun secara berkadar songsang. Cara paling mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan penggunaan bateri bersaiz besar. Samsung Galaxy M41 kelak kini disahkan akan dilengkapi bateri sebesar 6800 mAh.
Pengesahan berlaku selepas peranti melepasi laman pensijilan 3C di China. Ini ialah saiz bateri terbesar pernah digunakan pada peranti Samsung yang selama ini hanya sehingga 6000 mAh seperti yang ditemui pada Galaxy M31. Tidak diketahui sama ada sistem pengecasan pantas akan disokong. Kita hanya mampu berharap kerana jika saiz bateri yang besar tidak menyokong pegecasan pantas, pengalaman penggunaan akan menjadi kurang menarik.
Rekod peranti dengan saiz bateri terbesar dipegang oleh Energizer Power Max P18K Pop dengan bateri 18,000 mAh yang dilancarkan tahun lalu tetapi tidak pernah dijual kerana gagal memenuhi sasaran biayasama.