Xiaomi Bakal Hadir Dengan Klon Astrofotografi Dari Google Pixel

Xiaomi Bakal Hadir Dengan Klon Astrofotografi Dari Google Pixel

Diterbitkan pada July 8, 2020 oleh .

Beberapa hari lepas, kami melaporkan yang Xiaomi bakal hadir dengan AI Shutter – iaitu klon Top Shot dari Google Pixel untuk peranti Xiaomi yang menjalankan MIUI 12. Nampaknya, Xiaomi akan terus meniru Google atau mengambil inspirasi dari Google Pixel untuk menjadikan MIUI lebih baik.

Terkini, Xiaomi dilaporkan bakal menyertakan mod dedahan panjang (long exposure) pada aplikasi kamera MIUI 12. Mod ini dikatakan adalah klon kepada astrofotografi Google yang terkenal, iaitu mengambil gambar langit dengan bintang-bintang. Tetapi sedikit berbeza dengan Google Pixel, Xiaomi akan menawarkan beberapa mod berbeza bagi memudahkan lagi pengguna. Antara gambar yang pengguna boleh ambil kelak adalah seperti langit dengan bintang, orang ramai yang sedang bergerak, lukisan cahaya, mod silky water atau mana-mana kesan pergerakan objek yang bergerak.

Mod ini dilihat tiba pada MIUI 12 beta untuk Redmi K30 Pro baru-baru ini. Ini memberikan petanda yang kemampuan ini bakal tiba dalam masa terdekat. Tetapi ada kemungkinan besar juga ia tidak akan disertakan seperti mod menukar warna langit yang dulu diperkenalkan dalam beta MIUI 10, tetapi hanya beta MIUI 11 baru ianya hadir. Harapnya, pengguna tidak perlu tunggu sehingga MIUI 13.



TIPS & ULASAN