Carian
Oppo Melancarkan Sistem Pengecasan Pantas Berwayar 125W Dan Nirwayar 65W
July 15, 2020 Effi Saharudin

Sepantas manakah sistem pengecasan yang anda gunakan pada peranti? Kami merasakan pengecasan 18W USB-PD adalah lebih dari mencukupi kerana mampu mengecas peranti sepenuhnya dalam masa 80 minit. Tetapi jika anda ingin sistem pengecasan yang lebih pantas, Oppo mengumumkan dua sistem pengecasan pantas baharu yang bakal disokong peranti keluaran mereka.

Oppo 125W Flash Charge ialah sistem pengecasan terpantas mereka yang mampu mengecas bateri sebesar 4000 mAh dalam masa hanya 20 minit. Ini ialah evolusi seterusnya dari SuperVOOC yang mengecas pada output maksimum 65W sahaja. Pada Oppo 125W Flash Charge bateri dicas pada voltan 20V dan arus 6.25A. Bagi merealisasikan masa pengecasan adipantas, dua bateri digunakan pada peranti yang dicas serentak. Menarik juga pengecas ini hanya menyokong sambungan menerusi port USB-C

Sementara itu Oppo 65W AirVOOC ialah sistem pengecasan nirwayar terkini yang mengecas sepantas sistem berwayar SuperVOOC. Ini adalah penambahbaikan dari Oppo 40W AirVOOC yang baru dilancarkan April lalu pada Oppo Ace2.

Dengan dua sistem pengecasan panta baharu ini, masalah peranti yang lambat untuk dicas semula akhirnya selesai. Peranti manakah yang akan menggunakan Oppo 125W Flash Charge dan Oppo 65W AirVOOC  masih lagi misteri tetapi pastinya akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Komen