Empat tahun lepas, Amazon memperkenalkan Amazon Go. Ia adalah pasar raya yang tiada kaunter pembayaran. Pengunjung ambil sahaja apa-apa barang dan sistem pintar dari Amazon akan mengesan dan terus menolak wang dari akaun pengunjung. Pasar raya Amazon Go sudah ada beberapa cawangan di sekitar Amerika Syarikat dan sebelum ini Amazon memberi peluang kepada peniaga lain jika ingin menggunakan teknologi yang sama melalui Just Walk Out.
Terkini, Amazon memperkenalkan Dash Cart pula. Ia adalah troli untuk digunakan di dalam pasar raya. Pengunjung boleh menggunakan troli ini untuk mengambil apa sahaja barang dan barang yang berada di dalam troli akan dikesan dan terpapar pada skrin terbina. Pengunjung pasar raya ini kemudian boleh terus membuat bayaran tanpa perlu beratur panjang di kaunter. Ini adalah satu lagi produk dari Amazon bagi merealisasikan hasrat sebuah pasar raya tanpa kaunter.
Secara asasnya, Dash Cart adalah Amazon Go versi mini. Ia akan mula digunakan di pasar raya Woodland Hills, Irvine, North Hollywood (di California), Naperville dan Oaklawn (di Illinois). Walau bagaimanapun, nama pasar raya baru ini belum didedahkan lagi.
Di Malaysia, konsep tanpa beratur dan melalui kaunter bayaran ada diperkenalkan oleh Tesco. Tetapi ia lebih kepada membeli barangan di aplikasi dan datang ambil di cawangan. Mungkin suatu hari nanti, teknologi seperti ini akan berkembang lebih luas.