Trend kaca mata AR dilihat menjadi fokus dalam arena 5G, kerana boleh digunakan tanpa masalah pendam masa, sela masa dan juga lengah masa. Vivo telah memperlihatkannya pada tahun lepas, Apple sedang membangunkannya dan banyak lagi.
Terkini, Reliance Jio iaitu syarikat yang baru sahaja Google labur bagi membina telefon pintar mampu milik turut mengumumkan Jio Glass. Melalui kaca mata ini, ia akan memberikan pengalaman penggunaan kandungan holografik pada definisi yang tinggi. Ia juga mempunyai sistem audio terbina yang menyokong pelbagai format.
Sasaran Jio adalah untuk pengguna berinteraksi dengan avatar 3D, panggilan video holografik 3D, berkongsi fail dalam dunia maya ini, membuat pembentangan dan juga kelas digital. Ia mempunyai berat 75 gram sahaja kerana otak kepada kaca mata ini adalah melalui tambatan dari kabel pada kaca mata ke telefon pintar.
Ia sudah pun mempunyai berpuluh aplikasi dan sedia dilancarkan pada tahun hadapan. Pasaran Jio Glass mungkin akan terhad di India dahulu sebelum memasuki pasaran luar.