Cari @ Amanz

Semalam Samsung memperlihatkan imej acah lima produk yang dilancarkan semasa acara Unpacked 5 Ogos hadapan. Antaranya ialah tablet Galaxy Tab S7 dan S7+. Seperti biasa spesifikasi penuh kedua-dua tablet telah tertiris awal menunjukkan spesifikasi yang setanding dengan Galaxy Note 20.

Samsung Galaxy Tab S7+ dilengkapi skrin 12.4 inci SAMOLED dengan resolusi WQXGA dan sokongan kadar segar semula 120Hz. Skrin yang sama menyokong penggunaan stylus S-Pen yang boleh disimpan secara magnetik ke panel belakang. Ini dipadankan dengan cip pemproses Snapdragon 865+. memori 6GB RAM dan storan sebesar 128GB. Kamera utama adalah 13+5 mengapixel dan kamera swafoto pula sebesar 8 megapixel. Lensa sekunder pada kamera utama dilengkapi lensa ultra sudut lebar.Bateri sebesar 10,090 mAh membekalkan kuasa kepada peranti dan boleh dicas pantas menerusi port USB-C. Seperkara lagi yang menarik mengenai Tab S7+ ialah pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Empat pembesar suara pada sisi peranti pula dilengkapi sistem audio Dolby Atmos. Akhir sekali tablet boleh menyokong rangkaian 5G, WiFi 6 dan DeX secara nirwayar.

Samsung Galaxy Tab S7 dilengkapi skrin 11 inci LTPS dengan resolusi WQXGA, sokongan kadar segar semula 120Hz dan stylus S-Pen. Spesifikasi lain ada sama dengan Tab S7+ cuma pengimbas cap jari pada bahagian sisi dan bateri lebih kecil 7040 mah.

Imej acah yang tertiris sebelum ini menunjukkan aksesori papan kekunci fizikal merangkap kerangka pelindung skrin. Menerusi siri Tab S7 ini, Samsung menawarkan peranti dengan kemampuan setanding Galaxy Note 20 tetapi dengan skrin lebih besar tetapi kemampuan kamera yang lebih rendah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd