Dron Dicas Sepenuhnya Dalam Masa 5 Minit Menggunakan Teknologi StoreDot

Dron Dicas Sepenuhnya Dalam Masa 5 Minit Menggunakan Teknologi StoreDot

Diterbitkan pada July 31, 2020 oleh .

Terdapat ramalan dalam masa sedekad, penggunaan dron sebagai medium penghantaran bungkusan akan menjadi realiti. Ujian telahpun dilakukan oleh syarikat seperti Amazon, DHL dan Pos Malaysia. Tetapi kekurangan utama penggunaan dron ialah bateri yang tidak bertahan lama yang kemudiannya memerlukan masa pengecasan yang panjang.

Penyelesaian yang diambil pada waktu ini ialah dron yang mempunyai pek bateri mudah diganti dan dron yang menumpang kenderaan sebelum melakukan penghantaran kilometer terakhir sahaja.

StoreDot mempunyai idea berbeza iaitu teknologi pengecasan bateri yang mengambil masa hanya lima minit untuk pengecasan penuh. Bateri teknologi nanodot mereka pernah diperlihatkan di CES enam tahun lalu untuk telefon pintar yang mengecas dalam masa 30 saat sebelum turut diumumkan untuk kenderaan elektrik.

Setiap nanodot berfungsi sebagai sebuah adikapasitor yang cepat dicas. Satu kekurangan StoreDot ialah kapasiti bateri yang dihasilkan adalah lebih kecil berbanding bateri biasa. Tetapi dengan meletakan pod pengecas di atas bangunan, dron masih boleh melakukan penerbangan jarak jauh tanpa melambatkan proses penghantaran bungkusan kepada pelanggan.

Selain pengecasan pantas, StoreDot berkata bateri mereka menggunakan bahan organik yang meninggalkan impak yang rendah ke atas alam sekitar. Lima tahun lalu antara pelabur awal teknologi mereka ialah Roman Abramovich dan Samsung.



TIPS & ULASAN