Dron EHang ialah yang terawal digunakan secara komersial di China. Setakat ini ia telah digunakan untuk pelancongan di Guangzhou dengan beberapa lapangan dron akan dibina. Terkini dron EHang 216 telah diubahsuai untuk tugas memadam api di bangunan tinggi.
Dron yang sama kini dilengkapi 150 liter busa pemadam api dan enam bom pemadam api. Di atas kertas EHang 216 boleh digunakan untuk memadam api dalam lingkungan lima kilometer dari markas operasinya. Setelah tiba ke destinasi, terdapat pelancar yang memecahkan kaca bangunan sebelum bom pemadam api dilontar ke dalam bangunan. Selepas itu barulah busa pemadam api digunakan untuk memadam kebakaran dengan bantuan kamera infra merah.
Di China terdapat lebih 6000 kes kebakaran setahun yang berlaku di bangunan pencakar langit. Setiap EHang mampu terbang sehingga ketinggian 600 meter oleh itu ia adalah platform yang sesuai untuk memberikan bantuan pantas ke bangunan pencakar langit yang terbakar sementara menanti jentera bomba sebenar untuk tiba ke destinasi. Pada waktu ini dron bomba terbang ini diuji di Yunfu dengan cadangan mengembangkan operasi ke seluruh China sebelum ke seluruh dunia.