Microsoft sebelum ini telah pun secara rasminya mengumumkan mereka sedang membincangkan pengambil-alihan operasi TikTok di Amerika Syarikat. Selari dengannya, kerajaan Amerika Syarikat telah memberikan tarikh sehingga 20 September 2020 untuk TikTok diharamkan, atau dijual kepada syarikat disana untuk mengoperasikannya.
Apa pun, kini mengikut beberapa sumber melalui Reuters, ia dilihat proses pengambil-alihan operasi TikTok berkenaan sendiri mungkin lebih sukar daripada apa yang dijangkakan.
Mengikut beberapa jangkaan awal, proses pemindahan keseluruhannya mungkin mengambil masa lebih setahun.
Hal ini adalah kerana, yang pertamanya disebabkan perkongsian sumber teknikal bersama beberapa produk ByteDance yang lain. Ia dikatakan sejumlah kod berkaitan pelayan dan algoritma masih lagi dikongsikan – dan mungkin mengambil masa beberapa bulan sebelum diasingkan.
Algoritma memainkan peranan utama dalam TikTok – terutamanya dalam mengetengahkan perkongsian menarik kepada pengguna seluruh dunia.
Pada masa yang sama, satu lagi kesukaran teknikal adalah dari segi pembahagian data pengguna.
Microsoft buat masa ini mencadangkan untuk mengambil operasi TikTok di Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand dan Australia. Mengasingkan data pengguna adalah sukar berbanding pengambil-alihan keseluruhan. Disamping itu, setiap data pengguna juga berkait rapat dengan kandungan daripada pengguna seluruh dunia – sekaligus membuatkan proses ini lebih mencabar apabila hanya pengasingan operasi untuk beberapa buah negara sahaja dilakukan.
Mengikut beberapa pakar, ia dikatakan latar masa yang diberikan adalah sangat mencabar untuk proses pengasingan ini dilakukan – da mungkin mengambil masa beberapa bulan mahupun tahun untuk diasingkan.