Cari @ Amanz

Sempena dengan ulang tahun Xiaomi kesepuluh, mereka telah melancarkan dua peranti baharu. Sebentar tadi kami telah pun laporkan mengenai Redmi K30 Ultra. Peranti keduanya adalah Mi 10 Ultra, yang mana adalah sebuah peranti mercu memfokuskan kamera. Ia juga adalah peranti Xiaomi kedua termahal selepas Mi MIX Alpha.

Agak pelik kenapa Xiaomi kekalkan dengan cip Snapdragon 865 biasa bukannya 865+, tetapi tidak mengapa – ia dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB. Peranti ini jelas sekali adalah peranti kamera Xiaomi tahun ini, dengan kemampuan zum 120x melalui lensa 48MP periskop + 20MP sudut ultra lebar + 48MP lensa buatan khas + 12MP lensa potret dan kamera swafoto 20MP.

Skrin pula adalah 6.67-inci AMOLED, 120Hz, HDR10+ dan kadar sentuhan 240Hz. Skrin adalah jenis berlubang untuk kamera swafoto dan ia adalah skrin jenis melengkung. Bateri pula 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 120W, ya akhirnya ia menjadi realiti – 23 minit cas sudah penuh. Pengecas juga tersedia di dalam dan turut menyokong pengecasan nirwayar pantas 50W.

Ini adalah peranti kamera Xiaomi dengan percubaan pertama mereka pengecasan pantas 120W berwayar yang sudah sekian lama orang nantikan. Jika segalanya 120; zum, skrin dan pengecasan – harganya adalah berganda-ganda darinya. Harga di China bermula dari RMB5,299 (~RM3200) dan mencapai sehingga RMB6,999 (~RM4227).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd