Kerajaan Jepun sebelum ini telah mengatakan akan mula mengambil tindakan dalam usaha mengekang penularan cetak rompak manga dan sebagainya. Lanjutan darinya, kini dua laman popular, KissAnime dan KissManga dilihat telah menamatkan operasinya.
Perkara ini dilihat disahkan melalui saluran Discord, mengatakan semua fail berkaitan dilaman berkenaan telah ditarik kembali oleh pemilik hak cipta, dan laman KissManga serta KissAnime akan ditutup selamanya.
Laman KissAnime dan KissManga antara laman yang dituju ramai untuk mendapatkan anime dan manga terbaru sejak sekitar sedekad yang lepas. Namun, penawaran kandungan melaluinya yang tidak melalui saluran sah sedia menimbulkan pelbagai spekulasi berkaitan dengannya sejak sekian lama. Penamatan perkhidmatan ini juga turut membawa kepada kemungkinan beberapa web klon dan sebagainya yang mungkin timbul – dan turut mengedarkan perisian hasad melaluinya.
Pengguna tempatan boleh mendapatkan sejumlah anime melalui saluran saha seperti laman Netflix, atau melalui saluran Muse Malaysia di YouTube.
Anda juga dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak terjebak dengan laman pihak ketiga yang kadang-kala turut menyertakan perisian berbahaya melaluinya – dan kekal dengan saluran rasmi atau yang sah dalam mendapatkan kandungan terkini yang diminati anda.