Butiran Memori Kad Grafik NVIDIA Ampere Tertiris

Butiran Memori Kad Grafik NVIDIA Ampere Tertiris

Diterbitkan pada Ogos 17, 2020 oleh .

NVIDIA dijangka akan melancarkan siri kad grafik terbaru mereka, yang diberi kod nama Ampere, ataupun NVIDIA GeForce RTX 3000 pada acara The Ultimate Experience mereka pada awal bulan hadapan.

Tidak banyak butiran yang diketahui buat masa ini mengenai siri kad grafik Ampere ini, tetapi sepanjang hujung minggu ini, terdapat beberapa laporan mengenai memori yang digunakan oleh kad-kad grafik terbaru ini.

Pertama ialah tirisan daripada pihak Micron sendiri, iaitu pembangun memori GDDR6X yang digunakan oleh NVIDIA untuk kad grafik Ampere mereka.

Melalui dokumen yang ditunjukkan pada mesyuarat dalaman, Micron memperlihatkan dua perkara yang penting mengenai kad grafik terbaru NVIDIA, termasuklah nama model mercu paling premium siri Ampere, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3090. Nama ini digunakan didalam dokumen Micron tersebut, tetapi ia masih tidak disahkan lagi jika ini adalah nama yang akan digunakan oleh NVIDIA sendiri untuk menggantikan siri Ti paling premium kelak.

Satu lagi ialah penggunaan jumlah memori GDDR6X yang terbaru. Kad grafik GeForce RTX 3090 ini dikatakan akan menggunakan sejumlah 12GB memori GDDR6X dengan kelajuan penghantaran data sepantas 1TB/s.

Satu lagi butiran ialah mengenai kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 pula. Butiran mengenai memori GDDR6X kad grafik ini diperlihatkan melalui salinan skrin penanda-aras Userbenchmark yang tertiris.

Kad grafik tersebut diperlihatkan dengan nama 10DE 2206 yang mempunyai kelajuan frekuensi 2.1GHz dan sejumlah memori GDDR6X sebanyak 10GB dengan kelajuan penghantaran data sepantas 768GB/s.

Pembina PC kelas bangsawan dan mereka yang menunggu untuk menaik-taraf komponen kad grafik mereka pasti akan tertunggu-tunggu akan pengumuman rasmi kad grafik ini tidak lama lagi.



Paling Popular