Lesen perdagangan sementara dikeluarkan kerajaan A.S bagi membenarkan syarikat-syarikat dari negara mereka terus melakukan urusan dengan Huawei pasca sekatan perdagangan yang dikenakan Mei tahun lalu. Ini membolehkan peranti serta peralatan telekomunikasi terus menerima kemas kini perisian dan tampalan sekuriti. Tetapi lesen ini telahpun luput pada 13 Ogos lalu.
Menurut laporan The Washington Post ini adalah berita buruk bagi pengguna peranti Huawei dengan Google Mobile Services (GMS). Selepas luputnya lesen perdagangan, sebarang urusan perniagaan tidak lagi boleh dilakukan Ini turut bermakna Google tidak lagi boleh memberikan kemas kini Google Play Services dan juga pada aplikasi mereka seperti YouTube.
Peranti baharu yang menggunakan Huawei Mobile Services (HMS) tidak akan terjejas kerana proses kemas kini adalah terus dari pihak Huawei sendiri.Apabila Google diminta memberikan komen, mereka hanya berkata lesen perdagangan diperlukan bagi memberikan kemas kini perisian.
Pada waktu ini Huawei masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai situasi ini. Tanpa kemas kini bukan sahaja Play Store tidak lagi boleh digunakan malahan sistem keselamatan yang diperlukan untuk perbankan juga akan tergugat.