Pendaftaran Pengguna Baharu Oculus Memerlukan Akaun Facebook Bermula Oktober

Pendaftaran Pengguna Baharu Oculus Memerlukan Akaun Facebook Bermula Oktober

Diterbitkan pada Ogos 19, 2020 oleh .

Set realiti maya yang paling hangat di pasaran sekarang ialah Oculus. Selepas diambil alih oleh Facebook, pelbagai usaha dilakukan bagi menjadikannya peranti realiti maya pilihan seperti set kendiri dan kemampuan mengesan pergerakan jemari pengguna. Bermula Oktober hadapan, Oculus memperkenalkan syarat baru bagi mereka yang ingin mendaftar untuk menggunakan peranti mereka.

Pada bulan tersebut kesemua akaun baharu hanya boleh didaftarkan menerusi akaun Facebook. Bagi pengguna sedia ada, anda kini diberikan pilihan untuk menggabungkan akaun semasa dengan akaun Facebook. Bagi yang enggan melakukannya, akaun mereka akan hanya boleh digunakan selama dua tahun sahaja lagi.

Selepas 1 Januari 2023 pula, kesemua sokongan kepada akaun yang didaftarkan bersama Oculus tidak lagi akan diberikan. Pengguna masih bebas menggunakan peranti Oculus mereka tetapi beberapa fungsi mungkin tidak lagi boleh digunakan seperti chat dan perkongsian ke media sosial. Aplikasi yang telah dibeli mungkin masih boleh digunakan tetapi tanpa sokongan penuh oleh Oculus.

Langkah ini diambil oleh Oculus memandangkan mereka adalah anak syarikat Facebook. Integrasi yang lebih menyeluruh dengan perkhidmatan Facebook adalah perlu untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.



TIPS & ULASAN