Cari @ Amanz

Selain telefon pintar dan tablet, Honor turut dikenali sebagai salah satu jenama yang hadir dengan penawaran peranti boleh pakai. Sebelum ini, mereka dilihat berjaya menarik perhatian ramai apabila tampil dengan Honor Watch Magic 2 sekitar tahun lalu.

Kali ini, jenama ini dilihat telah bersedia untuk memperkenalkan generasi seterusnyan bagi segmen peranti boleh pakai mereka. Dikenali sebagai Honor Watch GS Pro, kemunculannya telah disahkan oleh pihak Honor menerusi perkongsian sebuah poster acah di laman Weibo.

Poster Tertiris Di Laman Weibo

Namun begitu, Honor dilihat sekadar mengacah sahaja dan masih berteka-teki mengenai tarikh pelancarannya. Bukan itu sahaja, spesifikasi berkaitan jam pintar ini juga dilihat masih menjadi tanda tanya sehingga kini. Poster dikongsi hanya memperlihatkan gambaran kasar rekaannya yang hadir dengan skrin berbentuk bulat. Jika diteliti, terdapat sejumlah butang kawalan fizikal yang ditempatkan di bahagian sisi jam pintar ini.

Seperti ciri biasa yang ada pada sesebuah jam pintar, jam pintar ini juga dilengkapi dengan fungsi yang berfokuskan sukan dan pastinya juga tahan lasak. Untuk ketahui lebih lanjut, kita tunggu kemunculan rasmi tuan empunya badan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd