Cari @ Amanz

Di masa hadapan pesawat swatebang diramalkan akan menggantikan penggunaan juruterbang manusia di medan perang. Usaha untuk menjadikannya realiti telahpun dimulakan menerusi program Skyborg dan Loyal Wingman. Sungguhpun pesawat swaterbang sebenar masih belum dihasilkan, kecerdasan buatan yang akan menjadi otak kepadanya kelak telahpun berjaya menewaskan manusia.

Minggu lalu ujian AlphaDogfight telahpun dilakukan oleh Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA). Ia melibatkan lapan syarikat iaiatu Aurora Flight Sciences, EpiSys Science, Georgia Tech Research Institute, Heron Systems, Lockheed Martin, Perspecta Labs, PhysicsAI, dan SoarTech. Selepas menjalani ujian selama tiga hari, Heron Systems dinobatkan sebagai juara.

Dalam ujian akhir menentang seorang tenaga pengajar Tentera Udara Amerik Syarikat di dalam sebuah penyelaku realiti maya pesawat tempur F-16, kecerdasan buatan Heron Systems mengalahkan manusia sebanyak lima kali berturut-turut.

Sebelum ujian akhir ini dilakukan, kecerdasan buatan bertarung di dalam penyelaku realiti maya untuk menentukan sistem manakah yang terbaik. Kejayaan Heron Systems mengejutkan DARPA kerana Lockheed Martin pada awalnya diramal akan memenangi ujian AlphaDogfight.

Antara kelebihan kecerdasan buatan yang dapat dilihat ialah menerbangkan pesawat dengan lebih ekstrem kerana tiada kekangan daya G yang boleh menyebabkan juruterbang manusia pitam. Kecerdasan buatan kelak bukan sahaja akan menggantikan manusia tetapi juga boleh menjadi sistem sokongan kepada juruterbang di dalam situasi tertentu.

Penggunaan kecerdasan buatan untuk tujuan ketenteraan mendapat tentangan ratusan penyelidik tahun lalu. Google misalnya menghentikan kerjasama mereka dengan tentera Amerika Syarikat selepas mendapat tentangan dari kakitangan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd