Carian
Juruterbang Manusia Akan Bertarung Dengan Pesawat Berkecerdasan Buatan Pada Tahun 2021
June 10, 2020 Effi Saharudin

Filem fiksyen sains Stealth membayang dunia masa hadapan di mana dron berkecerdasan buatan menggantikan juruterbang manusia di dalam pesawat tempur. Selepas 16 tahun filem ini ditayangkan di layar perak, ujian pertempuran juruterbang manusia menentang dron berkecerdasan buatan akan menjadi realiti pada tahun 2021.

Ini disahkan sendiri oleh Lt. Gen. Jack Shanahan yang merupakan ketua Joint Artificial Intelligence Center (JAIC) dalam sebuah temuramah bersama Mitchell Institute. Menurut beliau, pasukan Air Force Research Laboratory (ARFL) sedang membangunkan pesawat berkecerdasan buatan dengan sasaran bertarung dengan juruterbang manusia pada Julai 2021.

Beliau tidak mendedahkan pesawat apakah yang akan digunakan. Ia mungkin dron projek Skyborg yang juga sedang dibangunkan tentera udara Amerika Syarikat atau digunakan pada sistem automatik pesawat tempur seperti F-22 dan F-35. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, tentera udara A.S mempunyai perancangan menggunakan dron tempur sebagai pesawat pengiring untuk mempertahankan pesawat mengisi minyak atau radar serta beroperasi bersama pesawat tempur yang diterbangkan manusia,

Sistem yang sama telahpun dimulakan di Australia di bawah projek Loyal Wingman dengan tiga dron pertama telah diserahkan kepada tentera udara diraja Australia pada bulan awal bulan Mei lalu. Antara kelebihan penggunaan dron berbanding juruterbang manusia ialah kos yang lebih rendah. Tugas remeh menjadi pengiring juga dapat dilakukan oleh dron tanpa mengambil masa juruterbang manusia,

Komen