Poco tahun ini memulakan langkah yang bijak dan jimat, iaitu menjenamakan semula sahaja peranti-peranti dari Redmi dan menjadi peranti mereka sendiri. Redmi K30, Redmi Note 9, Redmi K30 Pro semua berubah menjadi Poco F2, Poco M2 Pro dan Poco F2 Pro. Baru-baru ini ada kedengaran yang Redmi 9C akan diubah kepada Poco C3. Terkini, dalam laporan XDA – Poco mungkin akan hadir dengan pengganti kepada Poco X2 iaitu Poco X3.
Melalui laporan ini satu imej yang memperlihatkan panel belakang peranti ini tertiris. Ia menggunakan modul kamera yang kelihatan sedikit segi empat dikelilingi dengan modul bulat mirip peranti Poco sebelum ini. Logo Poco jelas kelihatan di tengah-tengah peranti, dan turut memperlihatkan tulisan kamera 64MP sebagai lensa utama. Model peranti ini adalah M2007J20CG dan rekaan seperti ini tidak pernah lagi dilihat hadir pada mana-mana peranti Xiaomi atau Redmi.
Menariknya, sebuah lagi peranti dengan nombor model M2007J20CT akan hadir. Mungkin variasi storan berbeza? Kedua-dua peranti ini akan menjalankan MIUI 12, salah satu daripadanya akan mempunyai bateri 5160mAh dan pengecasan pantas 33W. Apa-apa pun, masih tidak pasti adalah ia Poco X3 ataupun tidak. Kerana sebelum ini, Poco ada mengacah kehadiran peranti baru bagi menandingi OnePlus Nord.