Carian
Spesifikasi Lengkap Realme 7 Tertiris – Mungkin Hadir Dengan Skrin 90Hz
August 26, 2020 Amy Maizuraa

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, itulah peribahasa yang sesuai digambarkan kepada Realme selepas dilihat tidak henti-henti muncul dengan produk baharu dalam masa terdekat ini. Sedia maklum, mereka kini dalam persediaan untuk pelancaran siri Realme X7. Akan tetapi, dalam perkembangan terkini jenama ini dilaporkan mempunyai perancangan untuk pengenalan satu lagi siri baharu iaitu Realme 7.

Rekaan peranti ini didakwa telah diperlihatkan dalam satu poster iklan di sebuah kedai yang memberi bayangan bahawa ia akan hadir dalam dua buah model berbeza iaitu Realme 7 dan Realme 7 Pro . Lebih menariknya lagi, spesifikasi lengkap untuk Realme 7 juga dilihat telah mula dikongsi. Realme 7 dipercayai hadir dengan skrin berukuran 6.5-inci FHD+ LCD dengan kadar segar semula 90Hz. Kalau anda perasan, ini adalah kadar segar semula yang sama digunakan pada siri Realme 6 sebelum ini

Seterusnya, sumber berkata penyenaraian memperlihatkan cip pemproses peranti disenaraikan sebagai MediaTek MT6785V/CD – ia dikhabarkan mungkin dikenali sebagai MediaTek Helio G95. Cip ini masih belum diumumkan secara rasmi oleh MediaTek dan tiada ura-ura mengenainya didengari sebelum ini.

Ia juga dilihat mungkin dibekalkan memori 8GB RAM dan storan 128GB. Melengkapinya juga adalah kamera utama dengan lensa 64-Megapixel, kamera hadapan 16-Megapixel dan bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 30W.

Seperti biasa, maklumat spesifikasi dikongsi ini masih di peringkat ura-ura dan belum diketahui kesahihannya. Realme juga masih berteka-teki mengenai tarikh pelancarannya. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini CEO Realme sering mengacah penggunaan kata tagar #BuildingTheFaster7 pada sejumlah hantaran di media sosial – ini sekaligus memberi gambaran bahawa siri Realme 7 mungkin tiba tidak lama lagi.

Komen