Carian
Asus Zenfone 7 Dan 7 Pro Kini Rasmi Dengan Tri-Kamera Berputar Dan Snapdragon 865+
August 26, 2020 Effi Saharudin

Asus Zenfone 7 dan 7 Pro akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini dengan spesifikasi kelas mercu. Seperti Zenfone 6 tahun lalu, kedua-dua Zenfone 7 mengekalkan rekaan sistem kamera berputar 180 darjah bagi menggunakan kamera utama sebagai kamera swafoto.

Kita mulakan terlebih dahulu dengan Zenfone 7 Pro yang dilengkapi skrin 6.67″ AMOLED FHD+ keluaran Samsung yang menyokong HDR10+, dijana cip Snapdragon 865+. memori sehingga 8GB RAM LPDDR5, storan 256GB UFS 3.1, dan bateri sebesar 5000 mAh. Bateri ini boleh dicas dengan pantas menerusi pengecas 30W yang disertakan.

Kamera utama kini menggunakan sistem tri-kamera dengan lensa sudut lebar dipadankan dengan sensor 64MP, lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa telefoto 8MP dengan kemampuan zum optikal 3X. Dua lensa utama turut mempunyai sokongan OIS bagi menstabilkan imej.

Kemampuan rakaman video pula ialah sehingga 8K 30p atau 4K 120p. Penambahbaikan lain yang diberikan ialah motor putaran kamera yang lebih berkuasa dan tahan lasak. Ini membolehkan kamera diputarkan lebih pantas dan bertahan lebih lama.

Zenfone 7 pula mempunyai spesifikasi yang sama cuma pemproses ditukar dengan Snapdragon 865, storan hanya 128GB dan kamera yang tidak dilengkapi sistem penstabilan OIS.

Sedikit aneh kedua-dua model menggunakan sistem imbasan cap jari pada bahagian sisi walaupun dilengkapi skrin OLED. Peranti akan mula dijual 1 September hadapan di beberapa pasaran tertentu dengan harga jualan NT$ 21990 (~RM3125) untuk Zenfone 7 dan NT$ 27990 (~RM3977) untuk Zenfone 7 Pro. Bagi peminat peranti Asus di Malaysia, kami difahamkan peranti ini tidak akan ditawarkan di Malaysia bagi memberi lalu kepada Asus ROG Phone 3.

Komen