Carian
ASUS ROG Swift Dengan Skrin 360Hz Akhirnya Dijual
August 27, 2020 Effi Saharudin

Tahun lalu skrin 90Hz mula popular pada telefon pintar. Tetapi ini ialah kadar segar semula yang biasa sahaja bagi monitor peminat permainan video. Di CES Januari lalu, ASUS ROG Swift 360Hz telah dilancarkan sebagai monitor permainan video pertama menyokong kadar segar semula melampau 360Hz lengkap dengan sokongan NVIDIA G-Sync. Selepas lebih setengah tahun, ia akhirnya mula dijual pada harga $699 (~RM2915).

Kerana kadar segar semula yang tinggi ini, panel IPS LCD yang digunakan hanya sebesar 24.5-inci dengan resolusi 1080P. Ini adalah saiz sama dengan ASUS ROG Swift PG348Q dengan skrin 240Hz yang dilancarkan tiga tahun lalu.

Selain kadar segar semula yang tinggi, monitor ini juga hadir dengan beberapa ciri yang mesra peminat permainan video tegar seperti sistem lampu Aura Sync pada logo di panel belakang, sokongan HDR10 dan rekaan bezel nipis pada tiga sisi.

Ia boleh didongak ke belakang sehingga 5 darjah, ke hadapan 20 darjah dan leher pula berputar 24 darjah. Pilihan input pula ialah HDMI 2.0 dan DisplayPort 1.4. Akhir sekali terdapat I/O 2x USB3.0 dan bicu audio 3.5mm terbina.

Jelas sekali ROG Swift menyasarkan golongan atlet esukan dan acara esukan itu sendiri memandangkan mereka adalah antara penaja tegar. Tiada tarikh bilakah ia akan memasuki pasaran Malaysia pada waktu ini.

Komen