Baru-baru ini Samsung memperkenalkan ciri mengesan kedudukan telefon pintar yang hilang tanpa menggunakan rangkaian selular. Tetapi semalam Samsung SmartThings telah dikemaskini dengan ciri baharu SmartThings Find yang membolehkan pelbagai peranti Samsung yang dimiliki pengguna dijejak lokasinya.
Peranti yang boleh dijejak ialah telefon pintar, tablet, jam tangan pintar dan juga fon telinga. Tetapi setakat ini dari penggunaan sendiri SmartThings Find kami menyedari fon telinga yang disokong hanyalah Galaxy Buds Live .

Pengguna boleh menjejak putik telinga kanan dan kiri secara berasingan. Alamat terakhir ia dikesan akan dipaparkan terus dari dalam aplikasi. Peranti-peranti hanya boleh dijejak sekiranya ia masih aktif pada waktu ini. Bagi fon telinga pula aplikasi akan mengingati lokasi terakhir ia digunakan.
Ini satu lagi sistem penjejakan dari Samsung yang sebelum ini menggunakan Find My Mobile tetapi ia hanya menyokong telefon pintar sahaja. Menarik sekali Find My Mobile kini turut boleh digunakan untuk menjejak peranti Samsung lain yang dimiliki.