10 Perkara Menarik Samsung Galaxy Z Fold2

10 Perkara Menarik Samsung Galaxy Z Fold2

Diterbitkan pada Sep 2, 2020 oleh .

Samsung Galaxy Z Fold2 telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi sebagai peranti kepada Galaxy Fold asal. Sebenarnya Fold ialah peranti yang saya secara peribadi adalah yang terbaik tahun lalu ia gagal dinobatkan kerana mempunyai beberapa kekurangan yang menyebabkan ia tidak layak.

Tahun ini Samsung kembali dengan peranti skrin boleh-lipat keempat mereka dan ia ditambah baik selepas mendapat maklum balas pengguna. Oleh itu kami ingin menyenaraikan 10 perkara menarik mengenai Sasmung Galaxy Z Fold2. Mungkin dengan kesemua penambahbaikan ini, Fold2 akan akhirnya layak untuk menjadi peranti terbaik 2020.

1. Spesifikasi Mercu Sebenar – Snapdragon 865+, 12GB RAM Dan storan UFS 3.1

Ini ialah pemproses terbaik untuk peranti Android pada tahun 2020. Snapdragon 865+ membawakan penambahbaikan pada kelajuan memproses dan grafik berbanding Snapdragon 865. Dengan cip ini mereka yang inginkan peranti berkuasa untuk tahun 2020 tidak akan perlu berasa gundah seperti pengguna Note20 Malaysia yang sekadar perlu berpuas hati dengan Exynos 990 sahaja.

Pemproses padu dipadankan pula dengan memori 12GB LPDDR5 dan storan 256GB UFS 3.1 yang terpantas di pasaran sekarang. Dengan saiz RAM yang besar melancarkan multi aplikasi secara serentak boleh dilakukan tanpa perlu melakukan proses segar semula.

Ini akan meletakkan Fold2 setanding dengan Note20 Ultra versi pasaran Amerika Utara dan ASUS ROG Phone 3 yang juga dilancarkan pada separuh tahun kedua 2020. Dengan harga jualan yang jauh lebih tinggi berbanding peranti lain di pasaran, keputusan Samsung untuk menggunakan cip yang terbaik adalah amat kami hargai.

2. Skrin Lebih Besar, Bezel Lebih Kecil Dan Kadar Segar Semula Tinggi

Dalam masa setahun teknologi skrin berubah dengan cukup pantas. Tahun ini Fold2 dilengkapi skrin hadapan sebesar 6.23″ berbanding 4.6″. Dengan saiz yang lebih besar, skrin sekunder yang sebelum ini langsung tidak praktikal kini lebih berguna. Bezel kelihatan lebih kecil dan selari dengan rekaan peranti mercu lain Samsung seperti Note20 Ultra dan S20 Ultra.

Skrin utama Fold2 juga dibesarkan ke 7.6″ dari 7.3″ tahun lalu sekali lagi menerusi penggunaan bezel yang lebih nipis. Takuk besar untuk kamera dalaman pula digantikan dengan kamera swafoto yang diletakkan di dalam lubang. Hasilnya ialah saiz keluasan skrin adalah lebih besar pada Fold2. Masalah takuk besar yang merencatkan tontonan video dan menikmati permua telah berjaya diselesaikan.

Tidak berakhir di sini, skrin boleh-lipat kini menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz yang membolehkan paparan kelihatan bergerak lebih lancar. Teknologi kadar segar semula boleh ubah Note20 Ultra digunakan pada skrin boleh-lipat ini turut dapat mengurangkan penggunaan bateri kerana bergantung kepada aplikasi. Tahun lalu kritikan yang diterima adalah skrin 60Hz dianggap canggung untuk digunakan pada sebuah peranti yang dijual pada harga melangkaui RM8000 sebuah.

3. One UI 2.5 – Membawakan Ciri Unik Note20 Ke Fold2

Peranti menggunakan pelancar One UI 2.5 berasaskan Android 10. Ini bermakna (hampir) kesemua ciri baharu yang diberikan kepada Note20 dan Note20 Ultra beberapa minggu yang lalu turut boleh dinikmati oleh pemilik Fold2.

Antaranya ialah sokongan DeX secara nirwayar pada televisyen pintar Samsung. Sokongan Your Phone yang mendalam seperti melancarkan aplikasi Android terus dari dalam komputer Windows 10. Sandaran Samsung Note terus ke OneDrive dan akhir sekali akses kepada perkhidmatan penstriman permainan video Project xCloud. Kesemua fungsi baharu Note20 kecuali yang melibatkan penggunaan S Pen boleh ditemui di Fold2.

4. Engsel Boleh Laras Dengan Flex Mode

Flex Mode diperkenalkan pada Z Flip yang membolehkan sudut skrin boleh-lipat dilaras sendiri oleh pengguna. Antara kebaikan mod ini ialah peranti boleh didirikan ketika menggunakan aplikasi telesidang dan menonton video YouTube.

Pada Fold2, Flex Mode dipertingkatkan lagi dengan kawalan merakam video yang kini memaparkan antaramuka pada skrin bawah dan bingkai video yang ingin diambil pada bahagian atas. Ia turut boleh digunakan pada skrin luar dengan membuka Fold ke bentuk huruf L. Pemilik Fold2 tidak perlu membeli kerangka dengan tongkat tambahan kerana tubuh peranti sendiri ialah tongkat boleh laras terbina.

5. Multi Active Window Kini Boleh Digunakan Pada Skrin Luar

Kerana skrin hadapan kini adalah lebih besar, munasabah untuk memberikan sokongan Multi Active Window (dulu dikenali sebagai multi window) kepada skrin ini. Dua aplikasi boleh dilancarkan serentak. Ciri baharu yang diperkenalkan pada Fold2 ialah App Continuity kini menyokong dua aplikasi yang dilancarkan ini. Sebaik sahaja skrin utama dibuka, ia secara automatik memaparkan dua aplikasi yang dibuka pada skrin hadapan tadi.

Tiga aplikasi juga boleh dikumpulkan sekali menggunakan ciri App Pair yang sebelum ini hanya menyokong dua aplikasi. Dengan ciri baharu ini, tiga aplikasi yang kerap digunakan bersama boleh dilancarkan serentak dengan menekan hanya satu butang pada talam Edge Panel.

6.Tangkapan Layar Berasingan Untuk Setiap Multi Active Window

Tangkapan layar (screenshot) pada Fold2 juga lebih bijak. Sekiranya ia mengesan anda menggunakan 3 aplikasi menerusi Multi Active Windows, 3 tangkapan layar berasingan untuk setiap aplikasi akan diambil. Anda tidak perlu lagi menghabiskan masa untuk menyunting satu tangkapan layar yang besar semata-mata untuk satu aplikasi sahaja. Ini adalah amat berguna sekiranya anda sekadar mahu mengambil tangkapan layar YouTube sahaja tanpa tertangkap layar yang mengandungi maklumat peribadi seperti Gmail.

7. Sokongan Mod Tablet Dari Lebih Banyak Pihak Ketiga

Dengan saiz skrin utama boleh-lipat yang besar, secara lalai aplikasi akan dilancarkan dalam mod tablet. Tetapi kadang kala aplikasi kelihatan lebih cantik dalam mod telefon pintar. Contoh terbaik ialah YouTube dan Instagram. Perisian Fold2 memberikan pilihan kepada pengguna untuk menetapkan apakah mod skrin yang ingin digunakan pada setiap aplikasi. Isu aplikasi yang sangat canggung digunakan dalam mod tablet tidak akan timbul kerana pilihan semuanya di hujung jari pengguna.

8. Aplikasi Boleh Digunakan Dalam Mod Tablet Atau Telefon Pintar

Kurangnya sokongan aplikasi Android pada tablet Android membuatkannya gagal bersaing dengan iPad. Majoriti aplikasi dibangunkan hanya untuk telefon pintar dan menjadi canggung apabila digunakan pada tablet yang berskrin besar.

Pada Fold2, Samsung tidak mahu mengulangi kesilapan Google dan memastikan aplikasi utama mempunyai sokongan mod tablet yang lengkap. Oleh itu aplikasi dari Google (Gmail dan YouTube), Microsoft (Office 365), Spotify dan natif dari Samsung kesemuanya mempunyai mod tablet yang sebenar. Gmail misalnya memaparkan antaramuka yang mirip desktop apabila dibuka pada skrin utama 7.6″. Dengan ini saiz skrin utama tidak akan disia-siakan bagi memaparkan sebanyak mungkin elemen antaramuka yang diperlukan.

9.Pelbagai Cara Menggunakan Kamera Untuk Fotografi Dan Videografi

Dengan dua skrin dan lima kamera, Fold2 menawarkan beberapa cara unik untuk mengambil gambar. Inovasi baharu yang diperkenalkan ialah menggunakan tri-kamera utama sebagai kamera swafoto. Bukan skrin sepenuhnya dan lancarkan kamera. Tri-kamera utama kini boleh digunakan sebagai swafoto dengan skrin luaran menjadi viewfinder besar.

Terdapat juga pilihan untuk menggunakan skrin utama sebagai viewfinder ketika menggunakan tri-kamera utama dengan skrin luaran pula akan menunjukkan subjek wajah mereka sendiri. Dalam situasi ini, kesemua skrin menjadi viewfinder. Apa yang dilakukan oleh Samsung ini bukanlah inovasi baharu kerana diperkenalkan pada Meizu Pro 7 tiga tahun lalu. Ia adalah kesinambungan kepada ciri seakan serupa yang sekali lagi dipinjam dari Z Flip.

Bagi penggemar video, Auto Framing diperkenalkan buat pertama kalinya dengan Fold2. Perisian kamera akan menjejak kedudukan subjek dan akan memastikan ia sentiasa dirakam. Ini dilakukan dengan melakukan zum keluar masuk secara automatik. Ia turut bijak mengesan jika terdapat lebih dari satu subjek, lensa ultra sudut lebar perlu digunakan. Tiada juruvideo? Tiada masalah kerana perisian akan mengambil alih tugas ini.

10. Sokongan Sistem Operasi Selama Tiga Tahun

Akhir sekali ialah Fold2 akan menerima sokongan kemas kini perisian selama tiga tahun. Tahun ini Samsung akhirnya mengemaskini polisi sokongan sistem operasi yang selama ini hanya diberikan selama dua tahun. Pengguna peranti mercu siri Fold, Z, S dan Note boleh menghela nafas lega peranti mereka akan mendapat sokongan perisian yang lebih lama. Ini meletakkan Samsung setanding dengan Google tetapi masih di belakang Apple dengan sokongan lima tahun.

Jadi adakah kesemua ciri-ciri menarik ini cukup untuk membuatkan anda melakukan pembelian Samsung Galaxy Fold2 tahun ini? Apakah ciri paling menarik atau kami ada tertinggal ciri yang anda rasakan paling utama? Nyatakan pendapat anda di ruang komen di bawah.


TIPS & ULASAN