Carian
NVIDIA Memperkenalkan Siri Kad Grafik Ampere Secara Rasmi – NVIDIA GeForce RTX 3070, RTX 3080 Dan RTX 3090
September 2, 2020 Nazrin

Siri kad grafik Ampere terbaru keluaran NVIDIA sudah melalui pelbagai jenis spekulasi dan tirisan dari segi nama, rekaan dan juga spesifikasi sejak berbulan-bulan dahulu.

Walaubagaimanapun, semua spekulasi tersebut berakhir pada malam ini apabila Jensen Huang, CEO NVIDIA mengumumkan ketibaan siri kad grafik tersebut yang terdiri daripada tiga kad grafik buat masa ini, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3070, NVIDIA GeForce RTX 3080 dan juga NVIDIA GeForce RTX 3090.

Dua daripada kad grafik ini, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3080 dan juga NVIDIA GeForce RTX 3090 sudahpun tertiris spesifikasi dalamannya semalam melalui kesilapan yang dilakukan oleh Gainward.

Walaupun begitu, spesifikasi yang diperlihatkan Gainward nampaknya mempunyai beberapa perbezaan ketara, khususnya dari segi jumlah teras yang tiba pada kad-kad grafik ini.

Bermula dengan kad grafik yang paling berkuasa didalam siri Ampere ini, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3090, ia dilengkapi dengan 10496 teras CUDA, dan hadir dengan 24GB memori GDDR6X dengan kelajuan penghantaran data 936GB/s.

Dari segi rekaan kad grafik, ia hadir dengan konfigurasi penyejuk dua kipas songsang yang menarik dan menolak haba melalui dua bahagian kad ini. Oleh kerana jumlah teras dan memori yang sangat besar, kad grafik ini juga hadir dengan bongkah penyejuk yang memakan tiga slot pengembangan didalam PC anda.

Jensen Huang berkata bahawa kad grafik ini mampu menggerakkan permainan AAA moden pada resolusi 8K dan kadar segar semula 60FPS pada tetapan tinggi tanpa masalah.

Beralih kepada NVIDIA GeForce RTX 3080, ia dikuasakan 8704 teras CUDA dan mempunyai 10GB memori GDDR6X dengan kadar penghantaran data 760 GB/s.

Rekaan penyejuk RTX 3080 seakan-akan NVIDIA GeForce RTX 3090, tetapi lebih nipis berbanding dengan kad grafik yang lebih besar tersebut, ia hanya memakan dua slot pengembangan didalam PC anda.

Dari segi prestasi, kad grafik RTX 3080 ini dikatakan dua kali ganda lebih mantap berbanding dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti.

NVIDIA GeForce RTX 3070 mungkin kad grafik yang paling menarik minat pengguna, khususnya untuk mereka yang sedang menyimpan duit untuk membina atau menaiktarafkan komputer desktop sedia ada.

Ia dilengkapi dengan 5888 teras CUDA dan menggunakan 8GB memori GDDR6. dan apa yang mengejutkan tentang kad grafik ini ialah prestasinya setanding NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti pada tanda harga yang jauh lebih menarik.

Kesemua kad-kad grafik ini akan menyokong antaramuka PCIe 4.0, dan menyokong kadar penghantaran data yang jauh lebih pantas dan dengan lengah masa yang lebih rendah berbanding sebelum ini.

Penggunaan teras Ray-tracing baru bersama-sama dengan DLSS 2.0 (Deep Learning Super Sampling) juga menjanjikan prestasi gaming dengan ciri Ray-tracing yang jauh lebih baik dan pengurangan prestasi yang minima.

Menurut pengumuman oleh Jensen Huang sebentar tadi, tanda harga dan tarikh pelancaran untuk ketiga-tiga kad grafik ini juga diberitahu, dan ia adalah:

  • NVIDIA GeForce RTX 3090 – $1499 (September 17 2020)
  • NVIDIA GeForce RTX 3080 – $699 (September 17 2020)
  • NVIDIA GeForce RTX 3070 – $499 (Oktober 2020)
Komen