“Keberanian” Apple membuang bicu audio 3.5mm pada iPhone 7 menjadi bahan ketawa industri pada awalnya tetapi kini menjadi perkara yang turut diikuti oleh pengeluar lain. Samsung adalah antara syarikat yang bersalah membahan Apple kerana menghapuskan bicu audio tetapi terpaksa menampar diri sendiri selepas menuruti langkah yang sama. Siri Galaxy Buds mereka telah dipasarkan sebagai jawapan kepada AirPods Apple.

Samsung Galaxy Buds Live ialah spesis baharu di bawah keluarga Galaxy Buds. Tidak seperti fon telinga TWS di pasaran sekarang, Samsung mengambil langkah berani untuk melakukan ajakan paradigma rekaan. Tiada tangkai memanjang seperti AirPods, tiada putik yang menerjah ke dalam rongga telinga dan tiada rekaan klise. Buds Live pada hemat kami kelihatan lebih seperti sepasang kacang ginjal yang mampu menawarkan pengalaman audio yang cukup baik.
Kacang Ginjal Yang Aneh
Samsung Galaxy Buds | |
---|---|
Jenis | Fon telinga |
Mikrofon | Dua |
Bateri | 60 mAh pada fon telinga 472 mAh pada pod pengecas |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Ya / Qi |
CODEC | Scalable (Samsung), AAC, SBC |
Sistem operasi disokong | Android, iOS, MacOS, Windows 10 |
Sokongan pembantu maya | Ya (Bixby sahaja pada Android) |
Pad sesentuh | Ya / 2X |
Kemampuan kalis air | IPX2 |
Storan Dalaman | Tiada |
Audio Offline | Tiada |
Pengimbas nadi | Tiada |
Harga Jualan | RM 699 |
Kami katakan pada dua perenggan sebelum ini, Buds Live ialah spesis baharu di dalam susur galur siri Buds. Sekiranya menurut sains manusia berevolusi dari beruk, maka tidak salah jika kami ingin katakan Buds Live berevolusi dari alat bantuan pendengaran. Ia lebih menghampiri peralatan yang digunakan oleh OKU pendengaran berbanding sepasang fon telinga konvensional.
Samsung harsu diberi pujian kerana mencuba sesuatu yang baru dan tidak hanya mengikut trend semasa. Mengambil inspirasi dari alat bantuan pendengaran juga adalah langkah yang amat bijak. Alat bantuan pendengaran ialah peranti yang memang direka untuk dipakai sepanjang hari. Boleh dikatakan kesemua fon telinga di pasaran mempunyai masalah sarwajagat mula menjadi tidak selepas selepas dipakai selama beberapa jam. Buds Live ialah TWS pertama yang tidak membuatkan telinga terasa tersumbat atau menimbulkan kerengsaan. Jika markah diberikan kepada inovasi, Samsung layak diberikan 10/10.

Jika markah ingin ditolak pula, ia adalah kerana rekaannya yang tidak konvensional adalah amat mengelirukan ketika pertama kali dicuba. Buds Live perlu diletakkan di antara lipat dalam cuping telinga dengan kekisi audio diarahkan terus ke lubang telinga. Rekaan terbuka digunakan dan bukannya dari jenis earbuds yang menjadi pilihan pengeluar TWS dengan pembatalan hingar aktif (ANC).
Perkara positif yang boleh kami katakan ialah ini menyelesaikan masalah telinga yang terasa tersumbat kerana tekanan udara berbeza, kegatalan kerana lubang dan pemakai menjadi sedikit pekak kerana audio luar yang dihalang dari memasuki telinga dalam.
Perkara negatif pula ialah pengasingan audio dari luar dan dalam tidak dapat dilakukan dengan baik walaupun dengan sistem pembatalan hingar diaktifkan.

Antara kerisauan awal ialah Buds Live mungkin tidak akan terpasang kemas pada telinga ketika bersukan atau mengayunkan kepala semasa mendengar muzik yang rancak. Tanggapan kami salah kerana walaupun kepala kami berputar ligat seperti Cliff Burton memetik bass untuk Metallica (saya cadangkan Master of Puppets untuk kenikmatan maksimum), Buds Live kekal terpasang kemas.
Ini adalah kerana Buds Live akan tersepit di antara lipatan telinga dan kewujudan sayap getah kecil yang juga akan terkepit. Hanya dua sayap sahaja dibekalkan oleh Samsung dan kami mendapati sayap yang diberikan pada awal adalah saiz yang selesa digunakan kebanyakan pengguna Buds Live.

Keseluruhan tubuh dan pod pengecas diperbuat daripada bahan yang berkilat. Ia memang cantik kerana tiada permukaan yang rata pada Buds Live itu sendiri sehingga lebih mirip aksesori fesyen dari sepasang fon telinga. Tidak boleh dinafikan Buds Live kelihatan amat premium, cantik dan seksi. Namun begitu kami boleh anda masukkan ke dalam kategori “insan yang tidak gemar peranti berkilat”.
Saiz pod pengecasan/simpanan adalah kecil dengan sudut yang dibulatkan. Ia sekitar 40% lebih kecil jika dibandingkan dengan pod Buds+. Seperti fon telinga, pod pengecas juga kelihatan premium. Bahagian plastik tidak terasa murah dan engsel penutup terbina teguh. Kerana saiznya yang kecil ini selesa disimpan di dalam kocek sehinggakan kami kadang kala terlupa ia tersimpan di dalam kocek. Magnet pada bahagian dalam memastikan fon telinga tersimpan kemas tanpa perlu risau tercicir dengan mudah.

Pod pengecas menggunakan port USB-C untuk dicas dan mempunyai sokongan pengecasan nirwayar Qi. Pada bahagian hadapan terdapat sebuah lampu LED yang menunjukkan tahap pengecasan. Lampu hijau untuk pengecasan penuh hingga 60%. Lampu kuning dari 59-30% dan merah apabila di bawah tahap 30%. Tiada butang fizikal untuk melakukan tetapan semula atau tambatan kepada peranti baharu.
“..walaupun kepala kami berputar ligat seperti Cliff Burton memetik bass untuk Metallica (saya cadangkan Master of Puppets untuk kenikmatan maksimum), Buds Live kekal terpasang kemas”
Kemasan berkilat yang digunakan walau bagaimanapun mudah mengumpul kotoran dari jari seperti magnet, licin sehingga menyukarkan proses memegangnya (atau mengeluarkannya dari pod) dan lebih mudah mengumpul calar. Tubuh Buds Live dilengkapi sensor sesentuh dan lapisan minyak yang terkumpul di akhir hari adalah agak menjijikkan.

Pod pengecas Buds Live yang kami ulas telah digunakan hampir sebulan dan telah mula calar balar walaupun sekadar disimpan dalam kocek seluar. Sarana saya kepada Samsung ialah melancarkan kerangka tahan lasak atau menghasilkan versi kemasan pusam seperti yang mereka gunakan pada Galaxy Buds asal.
Penggunaan Dan Perisian
Proses tambatan adalah bergantung kepada peranti apa yang anda gunakan. Pada peranti Samsung prosesnya adalah semudah membuka pod pengecas dan menanti untuk ia dikesan oleh peranti. Sebuah animasi pendek akan terpapar pada skrin menunjukkan tahap bateri pada pod dan fon telinga. Proses kemudian mengambil masa sekitar seminit (bergantung kepada kelajuan Internet) untuk menunggu aplikasi Galaxy Wearable memasang pemalam yang diperlukan. Selepas proses ini selepas Buds Live terus boleh digunakan.

Pada fon telinga Android lain dan iOS, kami menyarankan aplikasi Galaxy Wearable (Galaxy Buds pada iOS) dipasang terlebih dahulu. Buka pod dan ikuti arahan yang terpapar pada aplikasi. Proses mengambil masa yang sedikit lebih lama kerana perlunya memuat turun aplikasi tambahan.
Fon telinga masih boleh digunakan tanpa menggunakan aplikasi tetapi tidak disarankan. Aplikasi adalah penting untuk menukar sistem kawalan gestur, menyahaktifkan pad sesentuh, mod audio, mengaktifkan ANC, menjejak lokasi sekiranya hilang dan banyak lagi. Pengalaman penggunaan akan menjadi lebih baik menerusi aplikasi ini.

Akhir sekali pada komputer proses menambat adalah sedikit lebih leceh. Kedua-dua pad sesentuh perlu ditekan selama beberapa saat sehingga bunyi beep didengari. Kemudian Buds Live perlu dipilih pada menu bluetooth komputer.
Sepanjang ulasan kami tidak mengalami masalah menggunakan Buds Live pada pelbagai peranti Samsung, Android, iOS, Windows 10 dan Mac. Kelecehan hanya dialami ketika kali pertama tambatan ingin dilakukan.

Penggunaannya selepas itu adalah amat mudah. Terdapat sokongan kawalan gestur untuk menjeda/main, melangkau ke hadapan/ ke belakang, melaras semula audio, mengubah tetapan ANC dan menyeru Bixby. Jumlah kawalan gestur secara serentak adalah lebih rendah berbanding pada Buds+ tetapi masih lebih baik berbanding majoriti TWS lain di pasaran. Buds+ mempunyai sokongan accelerometer yang mengesan apabila permukaannya diketuk. Ini menambah dua lagi kawalan gestur selain menggunakan pad sesentuh terbina.
Kami hanya ingin merungut sokongan seruan Google Assistant masih tidak boleh dilakukan. Hanya Bixby boleh digunakan pada kesemua peranti Android. Aneh sekali Siri boleh diseru apabila Buds Live ditambat pada peranti iOS dan Mac. Wahai Samsung, kita sudahpun di penghujung 2020. Tiba masanya untuk membenarkan pengguna memilih menggunakan Google Assistant.
Kualiti Audio
Buds Live menawarkan pengalaman audio yang cukup memuaskan. Bass adalah cukup dalam dan menggetarkan koklea pemakai. Adalah agak mengejutkan pengalaman bass yang baik dapat dinikmati dari sepasang fon telinga yang bersaiz kecil. Treble pula lantang dan jelas. Menerusi aplikasi Galaxy Wearable, kekuatan treble dan bass boleh ditingkatkan lagi menggunakan pratetapan yang diberikan.
Kerana Buds Live mempunyai rekaan terbuka, soundstage audio adalah lebih baik berbanding Buds+. Fon telinga adalah lebih selesa tetapi ia menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi dari luar. Ini tidak dapat dielakkan walaupun dengan sistem pembatalan hingar Buds Live diaktifkan.

Audio kuat dari luar langsung tidak dapat dibatalkan dengan jayanya. Malahan kami boleh katakan pembatalan hingar pasif Buds+ adalah lebih baik dalam menghalang audio dari luar. Kami hanya menyedari sistem ANC Buds Live berfungsi untuk menapis bunyi tayar apabila di dalam kereta dan mengurangkan deruman pendingin hawa di pejabat.
Oleh sebab itu adalah lebih baik untuk mematikan sahaja ANC pada fon telinga ini bagi memanjangkan hayat penggunaan. Jika ANC adalah perlu bagi anda, kami menyarankan anda menggunakan fon kepala Sony WH1000XM3 atau sepasang AirPods Pro.

Kami meletakkan kemampuan audio Buds Live lebih baik berbanding Buds+ tetapi masih sedikit di belakang AirPods Pro kerana rekaan terbuka yang menyebabkan gangguan audio dari luar. Sungguhpun begitu ia masih lagi lebih baik berbanding 90% TWS yang berada di pasaran sekarang.
Akhir sekali kami perlu menyentuh tentang prestasi audio ketika melakukan panggilan telefon dan permua. Audio yang jelas dapat didengari kerana tiga mikrofon Buds Live boleh menapis hingar luar ketika pengguna bercakap.
Pada permua pula, masa pendam audio masih berlaku sungguhpun dengan Gaming Mode diaktifkan. Ini bukanlah masalah eksklusif pada Buds Live kerana turut ditemui pada kesemua TWS bluetooth di pasaran. Teknologi semasa masih belum mampu menyelesaikan masalah masa pendam dengan sempurna.
Bateri
Setiap fon telinga diiklankan boleh bertahan selama 6 jam dan sehingga 21 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya ANC diaktifan. Tempoh operasi fon telinga boleh meningkat ke 8 jam dan sehingga 29 jam dengan pod pengecas sekiranya ANC dinyahaktifkan.

Di dunia sebenar, anggaran yang diberikan adalah hampir sama. Ini adalah hayat bateri yang amat baik bagi sepasang fon telinga nirwayar. Sebagai perbandingan Galaxy Buds+ bertahan sehingga 11 jam tanpa pod dan sehingga 22 jam dengan pod. AirPods Pro yang mempunyai sokongan ANC pula bertahan selama 4.5 jam tanpa pod dan sehingga 24 jam dengan pod pengecasan.
Waktu mengecas semula pod dengan fon telinga sepenuhnya adalah sekitar sejam sekiranya menggunakan pengecas berwayar. Kami tidak sempat menguji pengecasan nirwayar tetapi yang pasti ia akan mengambil masa yang lebih lama.
Kesimpulan
Kacang ajaib dari Samsung ini memang tidak boleh diadili dari rupa sahaja. Kami langsung tidak menyangka ia mampu memberikan pengalaman audio yang cukup memuaskan dan pemakaian yang paling selesa untuk sepasang TWS.
Kelainan rekabentuknya juga memberikan kelebihan kepada Buds Live di dalam pasaran yang dibanjiri TWS dengan rekaan yang mengambil inspirasi dari AirPods.

Kekurangan terletak pada kemasan berkilat yang memerangkap kotoran dengan mudah, risiko calar yang tinggi dan terlalu licin untuk dipasang pada telinga. Sistem ANC yang digunakan juga mengecewakan kerana tidak mampu membatalkan hingar seperti yang kami inginkan.
Dengan harga RM699 sebuah, ini ialah antara TWS kegemaran kami tahun ini kerana menawarkan pelbagai ciri menarik, kualiti audio yang memuaskan dan harga jualan yang tidak merobekkan dompet.
Pro
- Kualiti bunyi yang amat memuaskan.
- Amat selesa dipakai untuk penggunaan sepanjang hari.
- Rekaan yang cantik dan unik amat berbeza dengan TWS lain di pasaran.
- Boleh digunakan pada pelbagai sistem operasi tanpa masalah.
- Hayat bateri yang amat memuaskan.
Kontra
- Pembatalan hingar yang tidak sebaik TWS lain dengan sistem yang sama.
- Terlalu licin kerana kemasan yang berkilat.
- Permukaan yang mudah kotor dan calar.
- Sedikit sukar untuk digunakan pada kali pertama kerana rekaan yang berbeza dengan TWS biasa.
