Huawei Enjoy 20 5G Dan 20 Plus 5G Dilancarkan – Sokong Cip MediaTek Dimensity 720, Tri-Kamera Utama

Huawei Enjoy 20 5G Dan 20 Plus 5G Dilancarkan – Sokong Cip MediaTek Dimensity 720, Tri-Kamera Utama

Diterbitkan pada Sep 3, 2020 oleh .

Huawei telah melancarkan dua buah lagi peranti terbaru mereka dalam segmen kelas pertengahan, hari ini. Dikenali sebagai Huawei Enjoy 20 Plus 5G dan Huawei Enjoy 20 5G kedua-duanya hadir dengan cip pemproses MediaTek Dimensity 720.

Bemula dengan Huawei Enjoy 20 Plus 5G. Peranti ini hadir dengan paparan berukuran 6.63-inci IPS LCD FHD+ dengan kadar segar semula tinggi 90Hz. Paparan hadapannya menggunakan rekaan paparan menyeluruh dengan penyertaan kamera swafoto pop-naik. Untuk dalaman, ia digabungkan dengan memori sehingga 8GB RAM (LPDDR4X, ruang storan 128GB serta perisian EMUI 10.1 berasaskan Android 10 terkini.

Tiga kamera utama padanya didatangkan dengan gabungan lensa 48-Megapixel (f/1.8) + 8-Megapixel (f/2.4) + 2-Megapixel (f//2.4), manakala kamera hadapannya pula adalah sebesar 8-Megapixel (f/2.0). Rekaan kamera utama ini mengingatkan penulis pada rekaan yang terdapat pada siri Huawei Mate 30. Melengkapi peranti juga adalah bateri 4,200mAh dengan pengecasan pantas 40W.

Seterusnya adalah Huawei Enjoy 20 5G. Peranti ini hadir dengan skrin berukuran 6.6-inci IPS LCD HD+ dengan sokongan kadar segar semula standard 60Hz. Berbeza dengan versi Plus, Huawei Enjoy 20 hadir dengan rekaan skrin bertakuk kecil yang menempatkan kamera swafoto sebesar 8-Megapixel (f/2.0). Dalamannya pula digabungkan dengan memori sehingga 6GB RAM dan ruang storan 128GB yang boleh dikembangkan menerusi kad microSD dengan had maksimum 512GB.

Untuk kamera pula, ia membawakan gabungan lensa 13-Megapixel (f/1.8) + 5-Megapixel (f/2.2) + 2-Megapixel. Berbeza juga dengan versi Plus, rekaan kamera utama pada Huawei Enjoy 20 5G disusun dalam modul yang berbentuk segi empat. Baterinya juga dilihat lebih besar dengan kapasiti 5,000mAh tetapi hanya menyokong pengecasan 10W sahaja.

Untuk penawaran harga, Enjoy 20 Plus 5G ditawarkan pada harga bermula RMB2,299 (~RM1,394), manakala Enjoy 20 5G pula dijual dengan harga bermula RMB1,699 (~RM1,030) untuk versi asas. Buat masa ini, peranti ini hanya tersedia untuk pasaran China sahaja.



TIPS & ULASAN