TCL sedia terkenal dengan pengeluaran telefon pintar yang menfokuskan gaya hidup, seperti untuk hiburan, rangkaian 5G dan banyak lagi. Siri TCL 10, walaupun tidak memasuki pasaran tempatan ia memperlihatkan penawaran yang menarik serta harga yang agak baik. Kini, mereka memasuki arena tablet pula.

TCL telah melancarkan 10 TABMAX dan 10 TABMID. Untuk 10 TABMAX, ia menggunakan skrin bersaiz 10.36-inci LCD, dijana dengan cip pemprosesan MediaTek P22T dan dipadankan dengan memori 4GB RAM serta storan dalaman 64GB yang boleh dikembangkan melalui microSD. Tablet ini menggunakan kamera 13MP belakang, 8MP kamera swafoto dan bateri sebesar 8000 mAh. Harga jualan tablet ini adalah €249 (~RM1222) untuk WiFi dan €299 (~RM1467) untuk versi LTE. Menariknya TCL turut menyediakan stilus dan juga kerangka papan kekunci dalam setiap belian.

10 TABMID pula dijana dengan cip Snapdragon 665, skrin bersaiz 8.0 inci dan memori pula adalah 4GB RAM serta storan dalaman 64GB yang turut boleh dikembangkan dengan microSD. Kamera adalah 8MP utama dan 5MP swafoto dan bateri lebih kecil iaitu 5000mAh. Harga jualan pula adalah €229 (~RM1123) terhad kepada versi LTE sahaja.
Kedua-dua tablet ini turut menyokong Bluetooth 5.0, USB-C, dan menjalankan Android 10. Ia hanya akan mula dijual pada suku keempat tahun ini.
TCL dilihat cuba bersaing dengan tablet seperti Galaxy Tab A7 yang baru dilancarkan sebelum ini.