Carian
Honor Watch GS Pro Dan Watch ES Diumumkan Dengan Bateri Sehingga 25 Hari
September 4, 2020 Effi Saharudin

Di IFA hari ini Honor melancarkan dua lagi jam tangan pintar terkini mereka iaitu Honor Watch GS Pro dan Watch ES. Mungkin anda menyedari kedua-dua jam tangan pintar mempunyai persamaan dengan Huawei Watch GT2 2e dan Huawei Watch Fit yang dilancarkan sebelum ini. Sangkaan anda sebenarnya tidak meleset kerana spesifikasi masih lagi sama.

Honor Watch GS Pro

Honor Watch GS Pro dilengkapi skrin 1.39-inch OLED, dijana cip Kirin A1 dan mengekalkan penggunaan sistem operasi LiteOS. Kelebihan jam tangan pintar ini ialah ia melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD 801G. Sistem operasi dapat mengesan sekitar 100 jenis aktiviti sukan seperti berlari, berenang dan berbasikal secara automatik.

Ia mempunyai sensor pengesan nadi, kandungan oksigen dalam darah, menjejak pola tidur dan sokongan GPS/GLONASS. Bateri boleh bertahan sehingga 25 hari dalam mod asas atau sehingga 48 jam sekiranya GPS diaktifkan setiap masa.

Honor Watch ES

Watch ES pula mempunyai saiz yang lebih kecil dan pipih. Skrin sebesar 1.64-inch OLED dipadankan dengan 4GB RAM. Sensor yang disertakan ialah pengimbas nadi, accelerometer, giroskop dan GPS. Ia turut boleh dibawa berenang kerana mempunyai ketahanan sehingga 5 ATM. Seperti GS Pro, ES boleh mengesan sehingga 96 kegiatan sukan secara automatik. Dengan sekali caj, ia boleh beroperasi sehingga 10 hari.

Di Eropah Honor Watch GS Pro akan dijual pada harga €250 (~RM1225) manakala Honor Watch ES pula dijual pada harga €100 (~RM490).

Komen