Carian
Amerika Ingin Menyenaraihitamkan SMIC Pula Bagi Merencatkan Penghasilan Cip Di China
September 7, 2020 Effi Saharudin

Perang perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat telahpun menyebabkan kemampuan Huawei untuk menghasilkan peranti baharu terjejas teruk. Cip Kirin buatan sendiri telahpun dihentikan kerana mereka dihalang dari berurusan dengan TSMC. Sebagai langkah memastikan keperluan negara terjamin, kerajaan China telah menyuntik dana $2.2 bilion ke dalam Semiconductor Manufacturing International Corporation (SMIC).

Tetapi Amerika Syarikat dilaporkan akan mempertimbangkan untuk menyenaraihitam SMIC pula bagi terus memberikan tekanan ke atas China. Jabatan Pertahanan AS sedang melakukan perbincangan dengan Jabatan Perdagangan untuk melihat sama ada SMIC perlu dimasukkan ke dalam senarai entiti seperti Huawei dan ZTE. Seperti alasan yang diberikan sebelum ini, SMIC dilihat sebagai syarikat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan tentera China.

Pihak SMIC telahpun mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka terkejut dan bingung dengan tindakan yang mungkin diambil kerana cip yang dihasilkan adalah untuk kegunaan awam. Mereka menyangkal dakwaan syarikat mempunyai hubungan dengan tentera China.

Pada waktu ini SMIC hanya mampu menghasilkan cip dengan teknologi 14nm dengan perancangan untuk menghasilkan cip 7nm menjelang suku keempat 2021. Suntikan dana dari kerajaan China adalah bagi mempercepatkan usaha SMIC untuk mempunyai kemampuan setanding TSMC dan Samsung yang telahpun memulakan penghasilan cip 5nm,

Komen