Siri Realme 7 baru sahaja dilancarkan di India, sekitar minggu lalu. Terkini, kita dikejutkan lagi dengan berita mengenai kemunculan Realme 7i pula. Ia berikutan tersebarnya poster acah yang memperlihatkan Realme Indonesia kini dalam perancangan untuk membawa siri Realme 7 ke pasaran Indonesia.

Namun begitu, apa yang menarik perhatian ramai poster acah berkenaan memperlihatkan siri Realme 7 yang bakal tiba di Indonesia terdiri daripada Realme 7 dan Realme 7i. Sedangkan ketika pelancaran di India tempoh hari, siri Realme 7 hanya terdiri dengan Realme 7 dan Realme 7 Pro. Rentetan daripada itu, ramai pihak menyasarkan bahawa Realme 7i kemungkinan adalah versi lebih rendah berbanding yang lain.

Spesikasi mengenainya juga telah tertiris. Di mana, ia dipercayai hadir dengan paparan 6.5-inci HD+ bersama kadar segar semula 90Hz. Selain itu, ia juga dikhabarkan bakal dijanakan oleh pemproses Snapdragon 662 dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Spesifikasi lain termasuklah, kuad kamera belakang dengan konfigurasi 64-Megapixel + 8-Megapixel + 2-Megapixel + 2-Megapixel, kamera hadapan 16-Megapixel dan bateri 5,000mAh bersama pengecasan pantas 18W.
Seperti biasa, maklumat yang tertiris ini masih di peringkat ura-ura. Bagi menjawab segala spekulasi, pelancaran rasmi untuk peranti ini telah dijadualkan berlangsung pada 17 September kelak dan segalanya bakal terjawab pada hari tersebut.