Cari @ Amanz


Vivo kini dilaporkan bakal melebarkan sayapnya lagi dengan menceburi segmen jam tangan pintar. Jenama ini dikatakan bakal muncul dengan jam tangan pintar pertamanya yang dikenali sebagai Vivo Watch dan pelancaran rasminya dijadualkan berlangsung pada 22 September kelak.

Jika sebelum ini, jam tangan pintar ini hanya tertiris dalam beberapa imej tersebar. Kali ini, ia diperlihatkan pula dalam sebuah video promosi ringkas. Apa yang ditayangkan dalam video pendek berdurasi 30 saat itu – dilihat seakan mengiyakan mengenai rekaan penuh jam tangan pintar ini pada imej yang tersebar sebelum ini.

Ianya dilihat hadir dengan paparan yang berbentuk bulat dan terdapat dua butang fizikal pada sisi kanan yang mungkin digunakan untuk sistem navigasi aplikasi. Kedua-dua butang ini dilihat hadir dalam bentuk segi empat. Seterusnya, video tersebut juga memperlihatkan terdapatnya sensor pengimbas nadi optikal pada bahagian belakang jam. Tali jam yang disertakan dilihat menggunakan bahan berasaskan kulit dan hadir dalam sejumlah warna berbeza yang menarik.

Tiada maklumat lanjut berkaitan spesifikasi yang dikongsi buat masa ini. Namun, ia dipercayai hadir dengan paparan AMOLED, binaan tubuh berasaskan keluli tahan karat, penarafan kalis air ATM 5, NFC, Jovi dan disertakan sejumlah sensor untuk memantau kecergasan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd