Cari @ Amanz

Cakera padat atau lebih popular dipanggil CD mula dipasarkan sebagai medium menjual album pada tahun 1982. Dalam masa empat tahun ia memintas jualan piring hitam dan terus meninggalkan medium muzik yang dianggap kuno ini di belakang. Tetapi generasi moden kini mempunyai obsesi dengan medium muzik fizikal dan akibatnya tahun lalu RIAA meramalkan jualan piring hitam akan memintas CD dalam asa terdekat.

Ramalan mereka telahpun menjadi realiti setahun selepas ia akhirnya berlaku di Amerika Syarikat. 62% jualan album fizikal kini ialah piring hitam. Sungguhpun begitu jualan kesemua album fizikal terjejas teruk akibat Covid-19. Dengan banyak kedai terpaksa ditutup, pengguna kini semakin ramai berpindah kepada perkhidmatan penstriman yang jauh lebih mudah digunakan.

Lebih menarik ialah jualan album fizikal kini hanya menyumbang kurang 10% dari pendapatan industri muzik di Amerika Utara. Sebanyak 72% keuntungan kini disumbangkan oleh perkhidmatan penstriman muzik. Ini adalah bersamaan dengan $3.3 bilion. Perkhidmatan penstriman pula menunjukkan peningkatan 24% berbanding tahun lalu.

Bilakah kali terakhir anda membeli album cakera padat dan piring hitam vinil? Saya kali terakhir membeli CD pada tahun 2009, piring hitam pula sekitar 1998 dan Blu-ray tahun ini di dalam sebuah jualan lambak. Kesemua koleksi yang dikumpul sejak hampir 30 tahun kini sekadar mengumpul debu seperti lagu popular Iklim.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd