Cari @ Amanz

Waze ialah aplikasi navigasi GPS yang popular di kalangan pemandu kerana sistem ramalan trafik dan laluan memintasnya yang amat baik. Pagi ini beberapa ciri baharu telah diperkenalkan ketika acara Waze On yang akan membuatkannya lebih berguna kepada pemandu.

Apabila aplikasi dibuka, ia akan memberikan saranan destinasi berdasarkan tabiat pemanduan dan lokasi yang pernah dipandu. Pengguna hanya perlu menatal ke atas untuk melihat saranan lokasi lengkap dengan jangkaan masa memandu. Turut diperkenalkan pagi tadi ialah panduan saranan lorong kepada pengguna global. Selama ini panduan lorong diuji pada negara-negara tertentu sahaja seperti Malaysia.

Satu ciri menarik ialah Waze akan memberikan notifikasi pada peranti sekiranya mengesan trafik yang sedang memuncak. Menerusinya pengguna diberikan amaran untuk keluar lebih awal bagi mengelakkan kelewatan dan menjadi insan Masa Malaysia. Ciri ini akan diberikan bermula Oktober kelak.

Ciri Carpool turut telah dipertingkatkan dengan ciri menerima penumpang secara automatik yang ingin ke destinasi sama atau berhampiran. Buat masa ini ciri Carpool hanya ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat, Brazil, Israel dan Mexico.

Akhir sekali sokongan Google Assistant secara terbina dalam aplikasi akan menyokong bahasa Perancis, Portugis dan Sepanyol menjelang penghujung 2020. Selama ini Waze hanya menyokong Assitant dalam Bahasa Inggeris.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd