Oculus Quest 2 Kini Rasmi – Snapdragon XR2, Skrin 90Hz Dan Lebih Ringan

Oculus Quest 2 Kini Rasmi – Snapdragon XR2, Skrin 90Hz Dan Lebih Ringan

Diterbitkan pada Sep 17, 2020 oleh .

Semalam video memperlihatkan rekaan dan spesifikasi Oculus Quest 2 tertiris, ia diterbitkan sedikit lebih awal dari masa pelancaran rasmi. Tetapi akhirnya, Oclus Quest 2 telah rasmi – ia adalah set kepala VR yang lebih ringan, mampu milik dan berkuasa.

Quest 2 dijana dengan cip Snapdragon XR2, direka sebagai sebuah set kepala VR semua dalam satu serta dengan sistem penjejakan mereka sendiri – Oculus Tracking. Melalui Quest 2 ini ia juga mempunyai kuasa kecerdasan buatan yang lebih hebat, memori 6GB RAM, serta paparan dengan resolusi 1832 x 1920 dengan kadar segar semula 90Hz. Melalui skrin dengan resolusi lebih tinggi serta sokongan 90Hz ini, ia boleh memberikan pengalaman 360 darjah yang lebih baik.

Untuk alat kawalan Touch mereka, ia masih menggunakan rekaan yang lebih kurang sama tetapi telah diperbaharui. Ia kini lebih ergonomik, lebih mudah digunakan dengan sistem penjejakan yang lebih lancar serta mempunyai ketahanan bateri yang lebih lama. Untuk keselesaan tambahan, Oculus Quest 2 ini direka dengan lebih ringan, iaitu 10% berbanding Quest lama. Disebabkan ia lebih ringan, fabrik/getah untuk dipasang pada kepala kini menggunakan bahan yang lebih lembut.

Oculus Quest 2 ini ditawarkan pada harga $299, iaitu sekitar RM1,240. Ia adalah lebih murah dari Quest lama kerana ingin memastikan lebih ramai dapat menikmati pengalaman VR yang baik. Bukan itu sahaja, Facebook turut ingin melihat masa hadapan kelak penggunaan VR ini lebih meluas dan Quest 2 ini adalah sebagai langkah awal untuk harapan mereka ini.



Paling Popular