Sony Xperia 5 II Dilancarkan Dengan Snapdragon 865, Skrin 120Hz Dan Bicu Audio

Sony Xperia 5 II Dilancarkan Dengan Snapdragon 865, Skrin 120Hz Dan Bicu Audio

Diterbitkan pada Sep 17, 2020 oleh .

Anda mahukan peranti mercu kompak dari Sony? Sebentar tadi Sony Xperia 5II akhirnya dilancarkan secara rasmi sebagai “adik” kepada Xperia 1 II yang dilancarkan awal tahun ini.

Sony Xperia 5 II dilengkapi skrin 6.1″ OLED FHD+ dengan kadar segar semula 120HZ dan bernisbah 21:9. Ia dijana cip Snapdragon 865, memori sebesar 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4000 mAh dengan pengecasan pantas sehingga 21W.

Kamera utama 12+12+12 megapixel dipadankan dengan kamera swafoto sebesar 8 megapixel. Lensa ZEISS digunakan bagi memastikan kualiti gambar yang baik. Bercakap mengenai lensa, tri-kamera utama menggunakan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan telefoto dengan zum optikal sehingga 3X. Menurut Sony, peranti ini mampu melakukan rakaman video 4K dengan HDR pada kadar 120 bingkai sesaat.

Walaupun dipasarkan sebagai peranti kecil dengan kemampuan kamera yang baik, Xperia 5 masih lagi mengekalkan penggunaan sistem pembesar suara stereo pada bahagian hadapan dan juga sebuah bicu audio 3.5mm. Kemampuan audio HiFi juga disokong bagi peminat audio beresolusi tinggi.

Tambahan lagi ini ialah peranti pertama Sony yang mempunyai sokongan permua yang menyeluruh. Terdapat mod permua yang akan memberikan tumpuan kepada permua dan menghalang gangguan. Sebagai peranti rasmi pertandingan COD Mobile, Xperia 5 II menjadi peranti pertama menyokong mod 120FPS untuk aplikasi yang cukup popular ini.

Akhir sekali peranti mempunyai pengimbas cap jari pada bahagian sisi dan sistem pengecasan yang memintas bateri ketika memainkan permua. Dengan ini hayat bateri akan bertahan lebih lama seperti yang ditemui pada Xperia 1 II sebelum ini. Harga masih belum diumumkan tetapi kelak Xperia 5 II akan ditawarkan dalam warna hitam sahaja.



TIPS & ULASAN