Imej Pengolokan Rasmi Dongel Android TV Google Tertiris

Imej Pengolokan Rasmi Dongel Android TV Google Tertiris

Diterbitkan pada Sep 21, 2020 oleh .

Pada 30 September kelak, Google akan mengadakan acara khas untuk melancarkan beberapa peranti terbaru seperti Pixel, speaker pintar dan dongle Android TV. Rekaan dongel yang sebelum ini menggunakan nama kod Sabrina telahpun tertiris tetapi pada hujung minggu lalu imej pengolokan rasminya telah tertiris menerusi laman Winfuture.

Turut tertiris ialah alat kawalan jauh yang hadir dengan butang untuk YouTube, Netflix dan Google Asssistant. Kesemua kawalan arah antaramuka dan dan penukaran saluran dilakukan pada roda berbentuk bulat. Sementara itu laras kawalan audio terletak pada sisi kanan. Ini ialah rekaan butang yang amat menyerupai yang digunakan pada peranti Pixel.

Sambungan ke TV adalah menerusi port HDMI bersaiz penuh dengan kuasa pula adalah menerusi USB dengan port pada dongel dari jenis USB-C. Pada bahagian belakang pula terdapat sebuah butang untuk melakukan tetapan semula. Yang tertiris hanyalah dongel berwarna putih tetapi Google akan menawarkannya dalam pelbagai warna seperti salmon dan hitam.

Kelebihan dongel ini berbanding Chromecast ialah ia menawarkan perisian Android TV terus dalam pakej yang padat. Kesemua televisyen di pasaran boleh berubah menjadi Android TV dengan hanya menyambungkan dongel ini. Ketika ini Android TV masih lagi di belakang Tizen dan WebOS sebagai sistem operasi popular untuk penstriman pada televisyen pintar.



TIPS & ULASAN