Carian
Prototaip Sony Xperia Play 2 Tertiris – Peranti Permua Sony Yang Dibatalkan
September 22, 2020 Fahim Zahar

Sebelum bermulanya trend telefon pintar yang memfokuskan permua, tahun 2011 Sony telah hadir dengan peranti yang lebih hebat – iaitu Xperia Play. Ia adalah telefon pintar dengan alat kawalan jauh terbina. Dengan kepakaran Sony dalam menghasilkan konsol mudah alih seperti PSP, mereka gunakan idea mereka untuk peranti permua Android.

Ketika itu, ia hanya dijana dengan cip Snapdragon S2, menjalankan Android Gingerbread, storan dalaman 400MB dengan RAM 512MB sahaja. Tetapi peranti ini hadir dengan pelbagai alat kawalan serta butang tambahan untuk bermain permua dengan lebih baik. Baru-baru ini, sebuah peranti yang dikatakan prototaip kepada Sony Xperia Play 2 telah tertiris. Ia dikatakan adalah peranti permua Sony yang dibatalkan. Antara sebab ia dibatalkan adalah untuk tidak bersaing dengan PS Vita, yang mana itu adalah fokus Sony pada ketika itu.

Peranti ini dilihat mempunyai butang pada bahagian bahu kiri dan kanan, butang aras suara, slot kad SD, slot kad SIM, masih menggunakan rekaan boleh luncur, kamera hanya ada satu sahaja, dan turut mengekalkan penggunaan nama Experia. Disebabkan ini adalah peranti Android lama, ia masih menggunakan butang kapasitif klasik Android dan turut mempunyai logo PlayStation – sebagai petanda ini adalah peranti gaming mereka.

Lebih menarik, peranti ini turut mempunyai butang khas untuk 3D – yang mana mungkin adalah butang untuk menjadikan pengalaman bermain seakan Nintendo 3DS. Terkini, peranti gaming Sony adalah Sony Xperia 5 II – yang mana mereka pasarkan kebolehan bermain permua COD pada kadar 120Hz. Adakah anda berminat untuk melihat peranti ini akan kembali? Mungkin suatu hari nanti, Sony akan hadir semula dengan peranti seperti ini.

Komen