OnePlus 8T 5G adalah peranti mercu terbaru OnePlus yang akan dilancarkan pada 14 Oktober. Walaupun OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro sudah menyokong 5G, agak pelik kenapa OnePlus 8T ini menggunakan nama 5G di belakangnya. OnePlus juga buat pertama kalinya menggunakan iklan yang menyertakan pelakon Robert Downey Jr. untuk pasaran global. Yang mana selama ini iklan dengan pelakon Iron Man ini terhad di China sahaja.
Terkini menurut laporan dari GSMArena, harga OnePlus 8T 5G untuk pasaran Eropah telah tertiris. Ia dikatakan akan hadir dengan dua variasi, iaitu 8/128 GB dan 12/256 GB. Harga jualan pula adalah €799 dan €899, iaitu sekitar RM3,889 dan RM4,375. Ini secara tidak langsung menjadikan peranti ini setaraf dengan versi Pro, iaitu harga premium dan tidak seperti harga biasa OnePlus bagi siri “T” yang lebih berbaloi.
Ini adalah harga Eropah, jadi ada cukai yang mencapai sehingga 16%. Tanpa cukai, harga paling mahal pun mungkin mencapai lebih RM3,600.

Terdapat banyak spekulasi mengenai peranti ini. Ada kata akan ada dua versi 8T dan 8T Pro, ada juga kata hanya 8T sahaja dan versi Pro tiada. Peranti ini dikhabarkan akan menggunakan skrin 120Hz, pengecasan pantas Warp baru 65W, bateri 4500mAh, cip pemprosesan Snapdragon 865+, kamera 48MP atau juga mungkin 64MP.
Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut mengenai peranti ini.