Nilai Syarikat Carousell Menghampiri Kepada $1 Bilion

Nilai Syarikat Carousell Menghampiri Kepada $1 Bilion

Diterbitkan pada Sep 22, 2020 oleh .

Carousell meneruskan momentum pertumbuhan kukuh pada tahun ini dan terbaru ia telah menerima pelaburan dari Naver Corporation, Mirae Asset-Naver Asia Growth Fund dan NH Investment & Securities sebanyak $80 juta (~RM330 juta). Dengan suntikan dana terbaru ini, ia menjadikan nilai syarikat Carousell menjadi $900 juta, sekaligus menghampiri menjadi satu lagi syarikat dari rantau Asia Tenggara yang akan mencapai nilai $1 bilion.

Carousell dalam kenyataannya berkata, pusingan dana ini menandakan keyakinan berterusan dalam pertumbuhannya, sekaligus mengukuhkan sasaran misi mereka. Di samping itu, Carousell turut meluahkan rasa terujanya dengan kerjasama itu, selain akan terus berusaha memberi fokus untuk menjadikan pemasaran dan pembelian secara atas talian lebih efektif.

Melalui kerjasama ini juga, Carousell kini boleh mengambil lebih ramai bakat tempatan di Malaysia untuk menyokong sejumlah inisiatif transformasi. Ia termasuklah bagi memperibadikan carian untuk sejumlah penyenaraian, mengautomasikan kualiti pasaran bagi mengelakkan penipuan dan penambahbaikan pengalaman pemasaran dengan cadangan harga serta data produk yang lebih tepat.

Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada semua pihak – termasuk kehidupan manusia mahupun industri. Bagaimanapun, Carousell dilihat telah berkembang sebagai sebuah platform penting bagi pengguna di lapan pasaran berbeza. Kejayaan itu digapai berikutan pelbagai insiatif serantau yang diambil.

Ia termasuklah menyediakan iklan percuma bernilai $2juta (~RM8 juta) kepada organisasi tidak berasaskan keuntungan, melancarkan kategori ‘Item Percuma’ untuk kempen #ChooseToGive dan usahasama dengan agensi kerajaan seperti Enterprise Singapore, Hong Kong Productivity Council dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia bagi menyokong digitalisasi perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sebelum ini, Carousell turut telah menyatukan syarikat mereka bersama Mudah, sekaligus mengukuhkan lagi penawaran sebagai platform untuk barangan terpakai di Malaysia.



TIPS & ULASAN