Cari @ Amanz

Setelah berbulan lamanya terperap di dalam rumah sepanjang tempoh PKP, jumlah rakyat Malaysia yang secara tiba-tiba ingin memulakan kehidupan yang lebih sihat meningkat sepanjang tempoh PKPP. Ini mungkin kerana ramai menyedari tubuh yang semakin bulat, berat yang semakin meningkat dan keperluan menjaga kesihatan ketika wabak Covid-19 masih aktif merebak ke seluruh pelosok bumi.

Kami antara insan yang termasuk di dalam golongan ini dan mula melakukan aktiviti senaman ringan di rumah dan kawasan letak kereta kondominium. Senaman yang dilakukan hanya akan bermakna jika ia boleh diukur dan perubahan fisiologi dijejak. Maka kami gunakan tempoh PKPP untuk melakukan ulasan Fitbit Charge 4.

Spesifikasi

Fitbit Charge 4
JenisPenjejak Kesihatan
Skrin1″ Sesentuh, Monokrom
BateriSehingga 7 hari
RAM/StoranTidak diketahui / Tidak diketahui
SensorPengimbas nadi optikal.
Altimeter,
Accelerometer
GPSYa
NFCYa/ Fitbit Pay
Kemampuan kalis air50m
Audio OfflineTiada
Sistem operasi disokongAndroid, iOS
Harga Jualan RM 688

Penjejak kesihatan ini dilengkapi skrin 1″ monokrom dengan sokongan sesentuh. Penggunaan teknologi skrin yang agak ketinggalan zaman ini bersebab kerana Fitbit ingin memanjangkan hayat penggunaan tanpa perlu meningkatkan saiz bateri sekaligus saiz tubuh. Fitbit mempunyai tradisi menghasilkan penjejak kesihatan yang bersaiz kecil bagi mengurangkan gangguan ketika melakukan aktiviti sukan, berenang dan tidur.

Tiada spesifikasi pemproses, RAM dan storan dikongsi secara rasmi oleh Fitbit. Maka kami tidak tahu apakah perbezaan kuasa memproses Charge 4 apabila dibandingkan dengan Charge 3 yang dilancarkan pada tahun 2018. Malahan rekaan dua peranti boleh-pakai ini adalah hampir sama sehingga sedikit sukar untuk membezakannya. Jika anda mempunyai Charge 3 sebelum ini, tali jam model terdahulu boleh digunakan semula pada Charge 4.

Sensor yang disertakan ialah pengimbas nadi optikal, altimeter, accelerometer dan GPS. Akhirnya sokongan GPS disertakan pada siri Charge yang selama ini dilihat sebagai kekurangan paling ketara apabila ia dibandingkan dengan peranti keluaran pesaing seperti Samsung Gear Fit2 Pro.

Terdapat sokongan bluetooth untuk tambatan pada peranti pintar tetapi tiada sokongan untuk tambatan kepada aksesori audio nirwayar. Ini tidak perlu kerana Charge 4 tidak mempunyai storan dalaman untuk memainkan fail MP3 secara terus.

Rekabentuk

Dari segi rekaan, Charge 4 mempunyai tubuh berkotak Charge 3. Tubuh diperbuat daripada bahan plastik yang pusam dan boleh dicubit. Ya tubuh Charge 4 menggunakan sistem cubitan untuk mengaktifkan/mematikan skrin dan untuk kembali semula kepada skrin utama. Dengan kata lain sistem kawalan seakan Active Edge pada peranti Pixel digunakan di sini.

Pada awalnya terasa agak kekok kerana selama ini kesemua jam tangan pintar dan penjejak kesihatan yang kami gunakan mempunyai butang fizikal. Tetapi selepas beberapa hari kami menyedari sistem yang digunakan ini amat praktikal terutamanya ketika sedang melakukan larian. Ia cukup minimalis dan mudah digunakan tanpa perlu mencari butang kawalan sisi yang mungkin agak kecil (ini ialah pengalaman semasa menggunakan Gear Fit2 Pro sebelum ini).

Tubuh peranti yang kecil dan diperbuat daripada plastik ini dipadankan dengan tali yang diperbuat daripada bahan silikon yang tidak mendatangkan kerengsaan pada kulit. Apa yang kami paling gemari tentang rekaan Charge 4 ialah adalah peranti boleh-pakai yang paling selesa pernah kami gunakan.

Ia ringan sehingga menyebabkan ia langsung tidak terasa ketika dipakai. Malahan ia satu-satunya peranti boleh-pakai yang tidak kami tanggalkan di pejabat sebelum menulis. Keselesaan ini juga dapat dirasai ketika melakukan larian (ia terpasang kemas tidak bergoncang) dan tidak menimbulkan kegatalan seperti tali silikon peranti boleh-pakai lain yang pernah digunakan. Semasa berenang pula bentuk berprofil rendah tidak memberikan rintangan air yang tinggi. Kemuncak keselesaan Charge 4 ialah ketika tidur.

Ia peranti pertama sejak Fitbit Alta HR yang kami boleh katakan boleh dibawa tidur dengan selesa. Ini adalah perlu kerana ciri penjejak tidur yang ditawarkan Fitbit ialah antara ciri paling menariknya dan akan kami sentuh semula di bawah.

Keselesaan inilah pada hemat kami memberikan kelebihan kepada Fitbit berbanding peranti boleh-pakai lain di pasaran. Binaan tidak terasa murah dan tidak mendatangkan masalah kulit selepas berpeluh-peluh melakukan aktiviti sukan.

Bercakap mengenai tali, dua pasang tali disertakan iaitu besar dan kecil. Kami menggunakan tali besar yang disertakan tanpa sebarang masalah. Sekiranya tali silikon tidak memenuhi kehendak anda, Fitbit ada menawarkan tali jenis sulaman yang membolehkan kulit “bernafas” dengan lebih baik secara berasingan. Seperti yang kami katakan di awal tadi, kesemua tali jam Charge 3 juga boleh digunakan semula untuk meningkatkan pilihan rekaan.

Perisian

Sistem operasi Fitbit OS 4.2 digunakan dan ini membolehkannya ia ditambat kepada peranti pintar Android dan iOS menerusi aplikasi Fitbit. Ini ialah sistem operasi buatan sendiri dan menyokong pelbagai ciri menarik yang akan kami bincangkan dengan lebih mendalam di bawah. Tetapi mari mulakan dahulu tentang penggunaan Fitbit OS 4.2. Ini bukanlah sistem operasi yang paling lancar yang pernah kami gunakan. Tatalan tidak terasa lancar dan seakan-akan bergerak pada kadar 12 bingkai sesaat.

Tatalan dari atas akan menarik ke bawah skrin notifikasi yang diterima dari telefon pintar. Kerana skrin 1″ monokrom yang kecil, proses membaca teks pada skrin adalah mencabar. Hanya terdapat tiga barisan untuk teks bagi setiap notifikasi. Subjek emel yang diterima misalnya kerap kali kurang lengkap.

Tatalan ke kanan pula akan memberikan akses kepada beberapa aplikasi seperti Spotify, kalendar, cuaca, pemasa, penggera dan tetapan pantas ke beberapa jenis aktiviti sukan. Bukan typo anda memang ada melihat Spotify dalam senarai di atas. Charge 4 boleh digunakan sebagai alat kawalan muzik dari telefon pintar. Kawalan yang diberikan adalah terhad kepada asas sahaja seperti menjeda, melangkau ke hadapan/belakang dan mengakses senarai main yang dimainkan dalam aplikasi.

Proses menggunakan antaramuka Charge 4 bukanlah yang paling mesra pengguna kerana kombinasi skrin yang terlalu kecil, tidak berwarna dan sistem operasi yang tidak lancar. Namun begitu kesemua kekurangan ini terubat kerana aplikasi telefon pintar yang digunakan pula adalah antara yang terbaik di pasaran.

Menerusi aplikasi Fitbit, pelbagai jenis tetapan boleh diakses. Pilihan data yang dikumpul juga boleh dikustomasi oleh pengguna mengikut keperluan aktiviti. Proses menukar muka jam, memilih notifikasi yang ingin dipaparkan pada skrin Charge 4, susunan aplikasi dan aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengguna dipaparkan dengan teratur.

Menerusi Fitbit Premium yang ditawarkan pada harga RM39.90 sebulan (RM329.90 setahun), Fitbit menawarkan pelbagai video tutorial yang mengajar teknik latihan yang betul. Penawaran ini sama seperti Fitness+ yang baru diumumkan. Selain video senaman Fitbit Premium juga menawarkan video resipi makanan yang sihat.

Sekiranya anda tidak mempunyai keahlian gimnasium, ini ialah galang ganti yang boleh diakses di mana-mana sahaja. Bagi mereka yang masih risau untuk pergi ke gimnasium kerana Covid, langganan Premium adalah seperti mempunyai jurulatih peribadi.

Ciri lain yang menarik ialah mengesan nadi ketika aktif dan rehat. Skor kesihatan jantung akan diberikan selepas dua bacaan ini diambil. Charge 4 juga akan menjejak waktu aktif sebenar semasa melakukan pelbagai aktiviti. Bacaan yang terperinci ini pastinya menggembirakan mereka yang benar-benar ingin tahu tentang setiap aktiviti yang dilakukan secara lebih terperinci.

Tetapi ciri yang paling kami gemar pastinya menjejak tidur. Charge 4 membahagikan waktu tidur kepada waktu tidur itu sendiri, tempoh tidur REM dan Restoration. Kemudian markah tidur akan diberikan kepada setiap sesi. Aplikasi akan memberitahu apakah yang menyebabkan skor tidur rendah seperti mengesan pergerakan yang terlalu banyak atau terbangun dengan kerap.

Sebagai insan yang kerap kepenatan, kami menyedari tidur yang mencukupi dapat membantu. Aplikasi Fitbit mempunyai ciri yang mengingatkan kami untuk tidur bagi mendapatkan rehat yang secukupnya (bagi mencapai markah tidur 90 dan ke atas). Ciri Smart Wake pula membangunkan kami tepat pada waktu apabila ia mengesan kami sudah mendapat rehat yang secukupnya dan bukan berdasarkan pengguna yang ditetapkan sendiri.

Jumlah data yang boleh dipantau, disimpan, dianalisa dan perkhidmatan video sebagai ganti jurulatih peribadi sebenar memberikan kelebihan kepada Fitbit berbanding peranti boleh-pakai lain di pasaran.

Bateri
Tiada maklumat mengenai bateri tetapi ia diiklankan dengan ketahanan sehingga tujuh hari. Ini ialah anggaran yang terlalu konservatif. Dalam penggunaan selama dua minggu kami mengecas Charge 4 setiap lima hari. Lebih banyak aktiviti dilakukan dan notifikasi dari telefon pintar diaktifkan hayat bateri akan semakin terjejas.

Tetapi hayat bateri paling terjejas jika GPS diaktifkan sepanjang masa. Dalam mod ini bateri hanya bertahan selama lima jam. Cukup panjang untuk melakukan larian jarak pendek dan renang tetapi tidak cukup lama untuk penggemar sukan triathlon Iroman. Jika ada satu ciri bateri Fitbit yang kami rasakan perlu dicuri oleh penjejak kesihatan lain ialah menghantar emel apabila bateri di tahap kritikal.

Hayat bateri Charge 4 adalah memuaskan bagi sebuah penjejak kesihatan multi-fungsi. Adalah tidak adil untuk membandingkannya dengan jam tangan pintar yang mempunyai hayat sehingga 27 hari kerana kapasiti bateri serta saiz tubuh yang jauh lebih besar. Proses mengecas semula Charge 4 mengambil masa hampir dua jam.

Di dalam dunia dimana bateri 4000 mAh boleh dicas dalam masa kurang 50 minit, ini ialah masa pengecasan yang lama. Namun begitu setahu kami sistem pengecasan pantas masih belum digunakan secara meluas pada peranti boleh-pakai. Mengapa ini berlaku? Mungkin bagi memanjangkan jumlah kitaran pengecasan bateri sebelum ia perlu diganti.

Kesimpulan

Kami baru sahaja berjinak-jinak untuk cuba memulakan kehidupan yang lebih sihat. Sebagai orang baru yang masih hijau, Charge 4 menawarkan kesemua ciri-ciri perlu bagi merekod aspek kesihatan tubuh, mengumpul data larian dan memantau pola tidur. Kami cukup tertarik dengan sistem pemantauan tidur yang memberitahu sama ada tidur yang dinikmati mencukupi ataupun tidak. Sebagai insan yang sudah memasuki Siri-4 tahun ini, tidur yang cukup adalah perlu bagi memastikan kami bertenaga untuk melakukan kerja.

Ia adalah peranti boleh-pakai paling selesa pernah kami gunakan sehingga boleh dibawa tidur tanpa disedari. Ini menyebabkan pernah berlaku bateri mati di waktu malam kerana kami lupa menanggalkannya dan mengecas sebelum tidur.

Tetapi mereka yang ingin membeli perlu menyedari Charge 4 ialah penjejak kesihatan dan bukan sebuah jam pintar. Tatalan pada skrin tidak lancar dan skrin juga agak kecil tanpa sokongan warna. Sebagai pengguna Samsung Gear Fit2 Pro, kami sudah dimanjakan dengan skrin besar berwarna. Tetapi kami hari akui ciri-ciri yang ditawarkan Charge 4 adalah lebih pelbagai dan data tang dikumpul diperlihatkan dengan lebih terperinci.

Di Malaysia Fitbit Charge 4 dijual pada harga RM688. Harga yang mungkin dilihat agak tinggi jika dibandingkan dengan Mi Band tetapi harus diingatkan ciri-ciri yang ditawarkan Charge 4 adalah lebih terperinci sekaligus memberikan nilai yang baik untuk setiap pembelian. Jika anda mencari penjejak kesihatan yang baik untuk melakukan anjakan paradigma kesihatan di tahun 2020, Charge 4 kami sarankan kerana ia pakej yang lengkap, selesa, kompak dan berbaloi.

KelebihanKekurangan
  • Rekaan yang menarik dan selesa mengikut kontur pergelangan tangan.
  • Hayat bateri sehingga tujuh hari.
  • Akhirnya sokongan GPS
  • Mengesan aktiviti sukan secara automatik.
  • Kalis air sehingga 50 meter dan kemampuan menjejak jarak renangan.
  • Emel dihantar apabila Charge 4 hampir kehabisan bateri.

  • Pilihan tali rasmi yang amat terhad.
  • Skrin yang terlalu kecil untuk membaca notifikasi yang diterima.
  • Tatalan yang tidak lancar dengan kadar bingkai rendah.
  • Pengecas khas diperlukan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd