Cari @ Amanz

Skyworth adalah jenama televisyen yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia. Pada asalnya, mereka adalah kilang yang menghasilkan televisyen jenama Toshiba dan sedar dengan kehangatan pasaran televisyen pintar – mereka turut hadir dengan televisyen tersendiri.

Baru-baru ini di China, Skyworth telah melancarkan siri televisyen pintar 8K baharu – Skyworth Q71. Ia menawarkan tiga pilihan saiz, iaitu 65-inci, 75-inci dan juga 86-inci. Televisyen pintar mereka ini menjalankan sistem operasi baru, coocaa OS 8 yang dioptimasikan untuk memainkan kandungan 8K. Melalui sistem operasi ini, Skyworth turut ingin memfokuskan kepada penstriman permainan video, kemampuan berkaraoke, pembelajaran atas talian, panggilan video dan banyak lagi.

Televisyen 8K mereka ini turut menyasarkan kepada pencipta kandungan, yang mana ia menyokong kamera LIFErecorder 8K untuk menbuat kandungan 8K dan turut menawarkan storan awan 8K coocaa cloud. Ini merupakan strategi mereka persediaan untuk teknologi 5G/8K. Televisyen Skyworth 8K Q71 ini dijana dengan cip pemprosesan khusus untuk paparan 8K MediaTek S900, mampu memainklan kandungan 8K60FPS, memori 6.5GB RAM dan storan dalaman 64GB, menyertakan enjin Skyworth AIPQ 8K, Skyworth 30+ Picture Quality Tuning, pembetulan warna LUT 3D. Untuk pembesar suara pula, ia dikuasakan oleh Dolby Atmos.

Televisyen ini menggunakan port sambungan HDMI 2.1, sokongan WiFi 6, serta mempunyai pembantu digital tersendiri TrensAI Voice. Ia akan mula dijual di China pada 1 Oktober dengan model 65-inci dan 75-inci terlebih dahulu pada harga RMB11,999 dan RMB17,999, iaitu sekitar RM7,331 dan RM10,997.

Di Malaysia, Skyworth siri TB7000 baru sahaja dilancarkan. Anda boleh tonton ulasan kami di bawah ini. Menurut wakil Skyworth Malaysia akan ada dua televisyen tiba ke pasaran tempatan pada Oktober atau November. Tetapi mereka masih tidak pasti model mana. Mungkin Q71 dengan Android TV? Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd