Rekaan Nokia 7.3 Diperlihatkan Dalam Imej Pengolokan

Rekaan Nokia 7.3 Diperlihatkan Dalam Imej Pengolokan

Diterbitkan pada Sep 25, 2020 oleh .

Desas-desus sebelum ini yang mengatakan Nokia 7.3 bakal diperkenalkan pada acara pelancaran HMD Global tempoh hari, ternyata meleset. Sebaliknya, pengenalannya masih menjadi tanda tanya. Namun begitu, terdapat laporan terkini mengatakan peranti ini telah diperlihatkan dalam imej pengolokan – sekaligus mendedahkan rekaan penuh peranti daripada pelbagai sudut.

Berdasarkan imej tersebar, ia dilihat mempunyai modul kamera utama berbentuk bulat bersama sokongan empat lensa. Pada modul tersebut juga terdapatnya penjenamaan ZEISS yang terletak di bahagian tengah. Turut kelihatan, sokongan pengimbas cap jari fizikal berbentuk bulat pada panel belakang. Selain itu, Nokia juga dipercayai menggunakan bahan berasaskan plastik untuk binaan panel belakang peranti ini.

Beralih ke panel hadapan, ia menggunakan skrin dengan rekaan berlubang untuk perletakan kamera swafoto. Binaan bezel di sekeliling peranti juga dilihat tidak sekata, di mana terdapat dagu yang tebalĀ bersama penjenamaan ‘Nokia’. Turut kelihatan, sambungan port USB Type-C dan pembesar suara pada bahagian bawah peranti, manakala bicu audio 3.5mm pada bahagian atas.

Nokia 7.3 dipercayai hadir dengan pemproses Snapdragon 690, selain menyokong skrin dengan kadar segar semula yang tinggi dan rangkaian 5G terbina. Seperti biasa, maklumat dikongsi masih diperingkat ura-ura, mungkin kita bakal mendengarnya lebih lanjut kelak.



TIPS & ULASAN