Hari ini Xiaomi telah melancarkan dua peranti mercu dalam siri Mi 10, iaitu Mi 10T. Ia adalah pengganti kepada Mi 9T tahun lepas, yang mana tahun lepas adalah penjenamaan semula dari peranti Redmi K20. Berbeza dengan Mi 10T ini, ia menggunakan rekaan tersendiri dan dilancarkan secara global.
Terdapat dua peranti dalam siri ini, iaitu Mi 10T dan Mi 10T Pro. Kedua-dua peranti ini mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama sahaja, kecuali pada bahagian kamera. Mi 10T Pro hadir dengan lensa 108MP, tetapi Mi 10T terhad dengan 64MP sahaja. Ini menjadikan, rekaan modul kamera juga adalah sedikit berbeza.
Mi 10T dan Mi 10T Pro menggunakan skrin LCD bersaiz 6.67-inci, FHD+, menyokong paparan HDR10+ serta mempunyai sokongan kadar segar semula 144Hz. Mod kadar segar semula Xiaomi ini juga adalah jenis bolehsuai, yang digelar AdaptiveSync – yang mana boleh padankan kadar segar semula dengan kandungan pada peranti. Ia juga menjanjikan penjimatan bateri 8%. Ini bermakna, mengikut kandungan – mod kadar segar semula peranti ini boleh berubah dari 30Hz ke 60Hz sehinggalah 144Hz.
Disebabkan ia menggunakan skrin LCD, pengimbas cap jari terpaksa diintegrasikan dalam butang kuasa di sisi peranti. Kedua-dua peranti ini dijana dengan cip pemproses Snapdragon 865 sahaja, bukannya Snapdragon 865+ dan dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5 serta storan dalaman 128GB UFS 3.1 untuk Mi 10T dan pilihan storan sehingga 256GB untuk Mi 10T Pro. Pembesar suara adalah jenis stereo dengan pengiktirafan Hi-Fi, bateri 5000mAh dengan sistem pengecasan pantas 33W yang pengecasnya disediakan dalam kotak. Rangkaian 5G turut ada, kekal dengan sensor infra merah, serta tiada port bicu audio 3.5mm.
Untuk Mi 10T Pro, Xiaomi turut menawarkan kemampuan kamera profesional. Antaranya adalah mod long exposure yang mampu mengambil pelbagai jenis gambar seperti Starry Night, Light Trail dan banyak lagi. Kemudian, Xiaomi turut menyediakan mod AI Skyscaping 3.0 – iaitu mod mengubah langit dalam gambar. Mod seperti Cyberpunk, Goldvibes dan Blackice seperti yang diperkenalkan pada Poco X3 turut disediakan. Jika sebelum ini ada mod Photo Clone, kini Xiaomi menawarkan mod Video Clone pula.
Peranti ini ditawarkan dengan pilihan warna hitam, biru atau perak dengan perlindungan kaca Gorilla Glass 5. Harga yang bermula dari 499 Euro, iaitu sekitar RM2,430 dan mencapai sehingga 649 Euro iaitu sekitar RM3,160. Peranti ini turut akan tiba ke pasaran Malaysia pada 6 Oktober ini, sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut berkenaan dengannya.