Carian
Paramedik Yang Terbang Seakan Iron Man Diuji Di United Kingdom
October 1, 2020 Effi Saharudin

Terdapat beberapa sut terbang yang telah dibangunkan dan terbukti mampu merealisasikan impian menjadi seperti Iron Man. Ujian awal merentas Selat Inggeris telah berjaya dilakukan tetapi penggunaan yang praktikal di dunia sebenar hanya dapat dilakukan sekarang dengan pengenalan paramedik terbang di United Kingdom.

Great North Air Ambulance Service (GNAAS) bekerjasama dengan Gravity Industries yang membangunkan Jet Suit. Ujian pertama dilakukan di Lake District yang terkenal dengan kawasan berbukit bukau yang sukar diakses oleh pasukan bantuan kecemasan. GNAAS mempunyai beberapa helikopter yang boleh memberikan bantuan tetapi penggunaan sut terbang akan membolehkan bantuan kritikal lepat pantas diberikan.

Dalam ujian pertama perjalanan yang mengambil masa 25 minit berjaya dipendekkan ke 90 saat sahaja menggunakan Jet Suit. Dalam situasi kecemasan sebenar ini dapat membezakan di antara pesakit selamat ataupun tidak. Ujian seterusnya akan dilakukan bagi melihat sama ada Jet Suit benar-benar sesuai untuk kegunaan dunia sebenar.

Jet Suit yang dicipta oleh Richard Browning mampu terbang selama 10 minit dengan kelajuan maksimum 137 kmj. Selepas lebih tiga tahun dibangunkan dan sekadar digunakan sebagai projek demonstrasi, akhirnya impian mempunyai paramedik terbang akan menjadi kenyataan.

Komen